MELAKA - Rakyat Melaka sedia menjalankan tanggungjawab dengan turun mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.
Penduduk juga teruja mahu membuang undi pada Sabtu kerana menyedari setiap kertas undi bernilai untuk menentukan wakil rakyat mereka serta mampu memberi perubahan kepada pentadbiran negeri dalam pelbagai aspek.
Mereka juga mahupun pemimpin yang sentiasa menunaikan manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat.
Seorang Surirumah yang ditemui Sinar Harian, Rokiah Hashim, 65, memaklumkan sudah bersedia menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai.
Rokiah mengimpikan sebuah kerajaan yang stabil, berintegriti, bebas rasuah dan mampu menjaga kesucian serta hak agama.
"Saya juga mahu wakil rakyat yang bakal dipilih mempunyai pendirian tegas dan setia kepada parti.
"Peristiwa lompat-melompat parti seperti yang berlaku sebelum ini hanya akan merugikan rakyat lebih-lebih lagi ketika musim pandemik Covid-19.
"InsyaALLAH saya sudah bersedia untuk menjalankan tanggungjawab bagi pastikan Melaka mempunyai kerajaan yang lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Bagi pembantu makmal, Kamaluzaman Abd Manap, 59, kerajaan yang dipilih mempunyai kebolehan memimpin negeri dengan dedikasi, cemerlang dan maju selain amanah menjalankan tugas tanpa culas.
"Harapan semua rakyat Melaka, kami mahukan kerajaan dan pentadbiran yang stabil. Kami sudah tidak mahukan kerajaan yang goyah, lompat parti," katanya.
Beliau turut menasihatkan pengundi supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Turut membuang undi, bekas jururawat, Rohani Ahmad, 63, yang juga akan menjalankan tanggungjawabnya di DUN Duyong.
Pesannya, kerajaan atau ADUN yang dipilih seharusnya menjalankan tugasan seperti mana yang dijanjikan semasa kempen dilakukan.
"Saya harap mereka (ADUN) yang menang memberi perkhidmatan yang terbaik. Jangan apabila sebelum mengundi macam-macam janji, tetapi apabila menang, muka pun sudah tidak nampak menjenguk rakyat,” ujarnya.
Pengundi muda, Muhammad Nabil Fikri Abu Hasan, 23, mengajak semua pengundi terutama pengundi muda keluar menjalankan tanggungjawab untuk kestabilan Melaka.
Jelasnya, rakyat perlu mengetahui dan menyelidik terlebih dahulu sebelum melakukan undian bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar mempunyai kredibiliti.
"Kita dah ada pengalaman sebelum ini. Jadi rakyat diseru tepuk dada tanya selera.
"Sekarang ini terpulang kepada pengundi. Pendapat saya, pilih calon yang betul-betul boleh membawa perubahan dari segi kemakmuran, kebahagiaan dan bukan kesengsaraan,” katanya.
Sementara itu, bagi pengundi yang berada Puchong, Selangor, Ahmad Fayzal Salleh, 40, teruja untuk pulang ke kampung bagi membuang undi.
Ahmad berharap kerajaan yang bakal dibentuk di negeri asalnya berjaya melakukan perubahan yang lebih positif.
"Saya akan pulang mengundi dan akan memilih pemimpin yang penuh kaliber untuk membangunkan negeri Melaka dengan lebih terancang dan efektif,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:495,195 rakyat Melaka tentukan kerajaan negeri esok
ARTIKEL BERKAITAN:PRN Melaka: 217 pusat mengundi dibuka esok
ARTIKEL BERKAITAN:Esok hari penentu, politik Melaka diharap tak 'bergegau' lagi