SHAH ALAM - Penduduk Kampung Lombong, Seksyen 29, di sini, menggesa satu perjumpaan diaturkan dengan pihak kontraktor serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menjelaskan berhubung status terkini projek pelebaran jalan di kawasan tersebut.
Seorang penduduk, Ahmad Yani Juraimi, 49, berkata, projek pelebaran di situ sudah tiga tahun dilaksanakan bermula dari Kem Bumi Jati, Jalan Kebun sehingga penghujung jalan Kampung Lombong.
"Dalam tempoh itu kerja-kerja dijalankan tak teratur. Memang kita nampak mereka dah buat kerja-kerja pengorekan, tambak tanah, tanam kabel dan sebagainya.
"Tapi kerja tersebut dilihat sering tertangguh. Kalau mereka (kontraktor) datang buat kerja hari ni, esok tak datang dah. Lepas dua minggu atau lebih baru nampak mereka datang balik," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, disebabkan itu dia dan penduduk di sini tertanya-tanya, apa perkembangan terkini projek tersebut kerana masih belum siap sehingga sekarang.
"Kita mohon kepada ahli parlimen serta ADUN kawasan untuk teliti perkara ini dan aturkan perjumpaan penduduk dengan JKR serta kontraktor dalam masa terdekat supaya kami dapat tahu apa yang berlaku di kampung kami dan sejauh mana kerja-kerja yang sudah dilakukan.
"Ini sangat penting kerana jalan tersebut itu laluan utama yang menghubungkan kawasan dari Rimbayu, Banting, Jalan Kebun dan Kota Kemuning ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Saujana Putra, Taman Mas dan Kampung Seri Aman," katanya.
Ahmad Yani berkata, apabila projek pelebaran jalan itu gagal disiapkan pada masanya, penduduk kampung di sini yang terkesan.
"Penduduk terpaksa berdepan dengan masalah trafik terutamanya pada waktu puncak, laluan bertambah sempit, berhabuk, risiko keselamatan kerana banyak lori pasir serta treler turut menggunakan laluan sehingga menyebabkan jalan rosak serta berlubang," katanya.
"Kawasan projek yang terletak bersebelahan tapak pasar malam juga menyukarkan penduduk untuk parkir ketika ke pasar malam. Pasar malam di sini sekali seminggu dan biasanya penduduk akan ke pasar malam beli barang basah kerana pasar raya agak jauh dari sini," katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Mohammad Zaki Mohamed Kassim berkata, dia yang sudah 22 tahun menetap di Kampung Lombong tersebut juga tidak senang dengan perkembangan projek.
"Setiap projek pasti ada tempoh, tapi ini sudah tiga tahun masih belum nampak apa-apa. Bila dah tertangguh lama, sebagai penduduk kita nak tahu juga apa masalah sebenarnya.
"Sejak projek ini dilaksanakan, saya dah tak hantar anak ke sekolah dengan kereta kerana pasti akan terperangkap dalam kesesakan, apatah lagi mereka yang lain yang hendak ke tempat kerja dan sebagainya," katanya.