MELAKA - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) terpanggil bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membawa suara rakyat yang inginkan ketelusan dalam pentadbiran dan kestabilan politik.
Calon Putra DUN Pengkalan Batu, Dr Mohd Aluwi Sari berkata, kelima-lima calon bersedia untuk menawarkan khidmat dan bakti kepada pengundi sekiranya diberikan mandat oleh rakyat dengan mengamalkan slogan bersih, bermoral dan berintegriti.
Menurutnya, setiap calon parti juga telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) dan melakukan sumpah ikrar mengelak tindakan lompat parti jika memenangi kerusi yang mereka tandingi.
"Putra harus bertanggungjawab untuk memperelokkan pengurusan pentadbiran dan agensi.
"Antaranya kita ingin mempertahankan ketua hakim mesti bangsa Melayu, Ketua Setiausaha Negara orang Melayu, ketua polis dan ketua tentera juga mesti orang Melayu," katanya ketika Program BERANI SEMUKA ‘Kenapa perlu pilih kami’ anjuran Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Aluwi yang juga Pengerusi Perhubungan Putra Melaka berkata, parti itu juga mempunyai sumpah keramat 10 perkara tuntutan Melayu Bumiputera.
"Tidak ada parti lain buat macam ini dan kami satu-satunya parti untuk memartabatkan bangsa Melayu dan bumiputera," katanya.
Tambah beliau, peranan Putra bukan untuk mentadbir kerajaan 100 peratus tetapi untuk menjadi timbang balas mengimbangi mana-mana parti yang tidak mencukupi majoriti tertakluk kepada perjanjian yang akan dimenterai.
BERANI SEMUKA turut menampilkan calon DUN Taboh Naning, Zairi Suboh (PH); calon DUN Serkam, Datuk Dr Norazlanshah Hazali (Bebas); calon DUN Machap Jaya, Abdul Aziz Osani Kasim (Iman) dan calon DUN Klebang, Bakri Jamaluddin (PN).
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my