PRN Melaka: Pusat pengundian dibuka 8 pagi

Iklan
Petugas Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan akhir di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Jeram bagi Pilihan Raya Negeri Melaka hari ini.- Foto Bernama

MELAKA - Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan sebanyak 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, akan dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang.

Iklan
Iklan

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca hari ini pada sebelah pagi diramal cerah di kesemua tiga daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah dan ribut petir pada waktu petang di kesemua kawasan.

Memandangkan PRN ini diadakan dalam keadaan negara masih berdepan ancaman pandemik COVID-19, pengundi diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran dengan mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke pusat mengundi.

Iklan

Pengundi yang bergejala atau mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius, akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan dan akan diuruskan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

Ejen parti atau calon yang telah selesai bertugas atau pengundi yang telah selesai mengundi perlu segera meninggalkan pusat mengundi dan cadangan masa yang digalakkan bagi setiap pengundi untuk keluar mengundi dinyatakan apabila pengundi membuat semakan maklumat pengundian melalui aplikasi mySPR Semak atau di portal Semakan Daftar Pemilih SPR.

Iklan

Pada 16 November lepas, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing membabitkan 31 pusat pengundian awal dengan 47 saluran manakala seramai 7,601 orang layak mengundi secara pos.

Secara keseluruhannya, jumlah pusat mengundi bagi PRN Melaka adalah sebanyak 248 dengan 1,156 saluran.

PRN Melaka menarik penyertaan seramai 112 calon bertanding membabitkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Bebas.

Ia juga berlangsung dalam situasi norma baharu yang menyaksikan larangan penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra (walkabout) dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka dan menggunakan kenderaan dengan siar raya.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Bernama