Pos kawalan usia lebih dua dekad perlu dinaik taraf

Iklan
Hasanuddin

HULU LANGAT - Kementerian Dalam Negeri (KDN) disaran agar menaik taraf kesemua pos kawalan yang menempatkan anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Semenyih.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, sebanyak 20 pos kawalan sedia ada yang terletak di sepanjang pesisiran pantai di perairan Selangor itu kini sudah berusia lebih dua dekad.

Iklan
Iklan

"Ini antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan saya dengan Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 4, PGA Semenyih, Deputi Superintendan Ibrahim Husin pada Khamis.

"20 buah pos kawalan di sepanjang pesisiran pantai perairan Selangor itu sudah agak uzur dan ada yang berusia lebih dari 20 tahun dan perlu dinaik taraf," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Pada Khamis, Hasanuddin yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara itu mengadakan pertemuan dengan Ibrahim selepas mereka menziarahi keluarga Koperal Mohd Izzlan yang baru kehilangan isteri akibat kanser payudara.

Dalam pada itu, beliau berkata, tugasan utama anggota Batalion 4 PGA Semenyih adalah mengawal kawasan pesisiran pantai negeri yang memerlukan mereka berada di pos kawalan 24 jam sehari.

Iklan

Sehubungan itu, menurutnya, keselesaan serta kebajikan anggota perlu diutamakan agar petugas barisan hadapan negara itu terus cemerlang dan selamat sewaktu menjalankan tugas.

Untuk rekod, jumlah rampasan barangan seludup bagi tahun 2021 adalah bernilai RM35 juta, manakala jumlah pendatang asing tanpa izin dan tekong berjaya ditahan pula seramai 528 orang.

"Ini merupakan antara kadar (rampasan) yang tertinggi dalam Malaysia," kata beliau lagi.