ALOR GAJAH - Berlaku rungutan dalam kalangan pengundi warga emas ketika proses pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Durian Daun (SK), Masjid Tanah di sini kerana kekurangan kemudahan kerusi roda.
Difahamkan hanya dua kerusi roda disediakan bagi pusat pembuangan undi berkenaan.
Keadaan itu menyebabkan terdapat pengundi memerlukan yang tiba awal tidak dapat menggunakan kemudahan itu segera.
"Saya ada kerusi roda di rumah tapi diberitahu tak perlu bawa kerusi roda sebab disediakan di sini. Tapi hanya ada dua," kata salah seorang pengundi yang enggan dikenali.
Pengundi berkenaan bagaimanapun diberi kerusi untuk menunggu giliran.
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) juga dilihat segera membantu melancarkan pergerakan pengundi berkenaan.
Susulan keadaan itu juga, Sinar Harian difahamkan terdapat pihak yang mengarahkan tambahan bantuan kemudahan empat lagi kerusi roda untuk digunakan di situ.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di situ juga mendapati pengundi-pengundi kebanyakan untuk saluran satu dan dua mula hadir seawal jam 7.30 pagi.
Calon Ketua Menteri Melaka BN, Datuk Seri Sulaiman Md Ali juga hadir membuang undi bersama isteri Datin Seri Hajah Munira M Yusop pada jam 8.40 pagi.
Sulaiman berkata, sekolah berkenaan adalah tempat beliau bersekolah rendah bahkan saluran tiga juga menggunakan kelas sama sewaktu beliau darjah tiga.
"Kawasan ini adalah kampung saya. Sebab itu ramai yang menyapa saya dan saya menolong mereka semula.
"Bimbang juga nanti dikatakan berkempen. Sedangkan saya kenal mereka semua,"katanya.
Sulaiman berdepan calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan tiga penjuru di kerusi DUN Lendu dalam PRN Melaka.
Beliau yang mewakili Barisan Nasional (BN) ditentang Mejar (B) Abdullah Mahadi (PN) dan Mohamad Asri Ibrahim (PH).
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my