PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte bersikap positif menjelang aksi berdepan Leeds United pada Isnin.
Menurut Conte, sikap berkenan dapat diterjemahkan pemain ketika beraksi di padang dan seterusnya merealisasikan kejayaan pasukan.
Malah katanya, kesemua pemain juga dilihat telah bersedia bagi mengharungi perlawanan berkenaan bagi melakar kejayaan dan seterusnya berada pada kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.
"Saya begitu positif terhadap perlawanan ini dan saya yakin kesemua pemain juga sudah tidak sabar untuk beraksi.
"Namun, apa yang penting pada perlawanan ini adalah untuk kami mencatatkan kemenangan dan seterusnya memperbaiki kedudukan,” katanya.
Untuk rekod, Conte dilantik selaku pengendali Spurs bagi menggantikan Nuno Espirito Santo mulai 2 November 2021 lalu.
Kehadiran Conte turut mengubah corak permainan skuad The Lilywhites itu dan setakat ini masih mampu mengekalkan rekod tanpa kalah apabila menewaskan Vitesse Arnhem 3-2 pada saingan Liga Europa pada 4 November selain terikat tanpa jaringan dengan Everton bagi saingan EPL pada 7 November.
Sementara itu, Conte menyifatkan dia sudah mula dapat menyesuaikan diri bersama Spurs sejak mengambil alih tugas selaku pengendali pada 2 November lalu.
Justeru Conte berkata, dia berazam untuk membantu kelab berkenaan mencatatkan lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
"Setelah hanya dua atau tiga minggu di sini, ia tidak semudah yang disangka untuk memahami situasi dan perkembangan semasa pasukan.
"Bagaimanapun, saya dapat merasakan sesuatu yang positif tentang kelab ini apabila melihatkan semua orang bekerja keras, bukan hanya pemain tetapi ia juga melibatkan kesemua kakitangan.
"Bagi saya perkara ini membuatkan semua orang merasakan mereka dihargai sebagai individu yang ‘penting’ dalam pasukan dan secara tidak langsung ia juga bakal mempengaruhi corak permainan pasukan,” katanya.