Uptown Danau Kota ibarat bom jangka

Iklan
Aktiviti perniagaan terlalu hampir dengan stesen minyak.

KUALA LUMPUR - Pernahkah terbayang bagaimana keadaannya sekiranya berlaku letupan sebuah stesen minyak? tentu ia bakal menjadi bencana dahsyat, lebih-lebih lagi bagi kawasan berkepadatan tinggi.

Bagaimana pula jika letupan berlaku di dua stesen minyak serentak? Pastinya sukar dibayangkan kesan dari bencana itu.

Iklan
Iklan

Perkara itu wajar menjadi kebimbangan besar jika merujuk kepada operasi perniagaan makanan di Uptown Danau Kota yang menjadikan kawasan berhampiran dua stesen minyak di situ sebagai 'dapur'.

Dengan jarak kurang 50 meter, laluan berhampiran stesen minyak menjadi tempat memasak ketika aktiviti perniagaan bermula seawal 8 malam itu.

Iklan

Tidak kurang 10 gerai yang beroperasi, masing-masing bertemankan tong-tong gas untuk kemudahan mereka memasak makanan yang dijual menimbulkan risiko besar di situ.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, M Letchumanan, mengakui situasi yang mengancam keselamatan itu dan menyifatkan keadaan tersebut tidak wajar berterusan.

Iklan

Menurutnya, sebagai pasukan menyelamat, pihaknya bertanggungjawab dalam mengawal selia kawasan di bawah pemantauannya dan memastikan aspek keselamatan diutamakan bagi mengelak tragedi.

"Dua isu yang utama dari segi keselamatan nyawa dan harta benda. Dari segi kebakaran dan gangguan laluan apabila berlaku kejadian. Di kawasan itu memang berisiko berlaku letupan kerana wap petrol dan masakan boleh menyebabkan kebakaran.

"Dalam waktu sama, gangguan laluan juga akan menyebabkan operasi menyelamat menjadi lambat kerana kesukaran untuk masuk ke kawasan tersebut jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

"Letupan stesen minyak bukan perkara kecil. Justeru, sekiranya berlaku kebakaran di situ ia akan memberi kesan yang amat besar malah akan melibatkan seluruh kawasan uptown tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melalukan pemantauan operasi Uptown Danau Kota, di sini malam kelmarin.

Letchumanan berkata, peringatan dan teguran pernah diberikan kepada peniaga-peniaga berkenaan namun sehingga kini mereka terus beroperasi.

"Kebakaran dalam kereta pernah berlaku di salah satu stesen minyak berkenaan kerana penggunaan telefon. Kejadian itu sepatutnya dijadikan iktibar.

"Jadi kita minta kerjasama daripada peniaga-peniaga untuk keluar daripada kawasan kedua-dua stesen minyak itu.

"Kita juga mohon kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil peranan mengatasi masalah ini dengan kadar segera," katanya.

Sebelum ini operasi Uptown Danau Kota diumumkan akan dipindahkan ke tapak kekal yang bakal dibangunkan dalam tempoh dua tahun enam bulan.

Pemindahan sementara dijangka dibuat dalam tempoh enam bulan dari sekarang bagi penyelesaian isu kesesakan dan halangan di kawasan itu sejak 11 tahun lalu.

Bagaimanapun tempoh enam bulan ke tapak sementara disifatkan agak lama dan sekurang-kurangnya tindakan segera bagi pemindahan operasi peniaga makanan perlu dilakukan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyusun semula tapak peniaga-peniaga Uptown Danau Kota khususnya peniaga makanan dalam waktu terdekat sebelum pemindahan operasi bazar itu ke tapak sementara.

Katanya, DBKL memandang serius isu keselamatan dibangkitkan pihak bomba dan penyelamat dan tindakan segera akan dibuat.

"Peniaga sepatutnya mengikut peraturan dan setiap stesen minyak adai jarak yang perlu dipatuhi dari sebarang aktiviti yang boleh undang bahaya.

"Disebabkan pemindahan sementara yang dijanjikan ambil masa enam bulan lagi, tindakan segera penyusunan semula peniaga-peniaga ini akan dibuat sebelum itu kerana keselamatan perlu diutamakan.

"Kita tidak mahu berlaku sebarang tragedi yang akan menyebabkan kesan lebih besar. Jadi diharapkan kesemua peniaga dapat memberi kerjasama dalam hal ini," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata DBKL dalam proses menyediakan kemudahan di tapak sementara sebelum operasi bazar larut malam itu dipindahkan.

"Kelulusan juga telah diterima dari pejabat tanah, jadi dalam tempoh yang dijanjikan itu peniaga akan berpindah sementara sebelum beroperasi di tapak kekal yang akan dibangunkan," katanya.