Perlu vaksinasi lengkap sertai Terbuka Australia

Iklan
Novak Djokovic

PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic serta semua pemain yang mahu beraksi pada kejohanan tenis Terbuka Australia pada Januari, perlu melengkapkan proses vaksinasi masing-masing sebelum menyertai kejohanan berkenaan.

Kenyataan itu dibuat ketua penganjur kejohanan berkenaan, Craig Tiley yang mahukan semua pemain yang menyertai kejohanan berkenaan telah lengkap divaksinasi.

Iklan
Iklan

"Kita akan pastikan kesemua pemain yang beraksi pada Terbuka Australia kali ini adalah melibatkan pemain-pemain yang telah lengkap divaksinasi.

"Malah, sudah tentu kita semua mahu menyaksikan aksi-aksi hebat pemain-pemain handalan dunia seperti Djokovic dan lain-lain pada saingan kali ini.

Iklan

"Bagaimanapun, kesemua pemain termasuk dia (Djokovic), perlu mendapatkan vaksinasi lengkap sebelum dibenarkan beraksi pada kejohanan berkenaan,” katanya.

Pengumuman itu nyata menimbulkan spekulasi berikutan pelbagai perbincangan telah pun dibuat khususnya melibatkan pihak Persatuan Tenis Australia dan kerajaan negeri Victoria sebelum ini yang turut menegaskan setiap individu di Melbourne Park, perlu divaksinasi.

Iklan

Untuk rekod, Djokovic sebelum itu enggan mendedahkan mengenai status vaksinasinya kepada umum sebelum ini.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, Djokovic berkata, dia bersedia untuk mendedahkan protokol-protokol kesihatan yang ada padanya sebelum membuat keputusan untuk beraksi di Melbourne Park.

Sementara itu Tiley berharap, pengumuman berhubung perkara berkenaan dapat difahami dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak, khususnya bagi pemain-pemain tenis yang mahu menyertainya.

Katanya, biarpun pengumuman itu telah menimbulkan banyak spekulasi namun secara keseluruhannya, ia bertujuan bagi memastikan tidak berlaku sebarang penularan wabak Covid-19 pada Terbuka Australia.

"Sebab itulah, kita mahu memastikan kesemua pemain di kejohanan Terbuka Australia ini merupakan golongan yang telah lengkap divaksinasi.

"Selain menjaga kesihatan dan keselamatan diri masing-masing, proses vaksinasi itu juga bakal membantu menjaga kesihatan dan keselamatan orang lain.

"Oleh itu, saya berharap arahan ini dapat difahami dengan sejelas-jelasnya khususnya kepada pemain-pemain yang mahu menyertai kejohanan berkenaan,” katanya.