MARANG - Seorang lelaki dipercayai mengalami tekanan jiwa maut bersama sebuah kenderaan yang terbakar dalam kejadian berdekatan kebun getah di Jalan Baru, Kampung Pulau Rusa, Merchang di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, mangsa berusia 34 tahun melecur 80 peratus pada anggota badan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum disahkan meninggal dunia jam 5.30 pagi pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 8.40 malam pada Jumaat sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
"Mangsa yang bekerja sebagai mekanik ditemukan dalam keadaan terbaring di atas jalan dan sebuah kereta jenis Proton Wira yang turut terbakar.
"Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang menggunakan ambulans bersama ibunya sebelum dikejarkan ke HSNZ," katanya.
Sementara itu, Mohd Zain berkata, keluarga mangsa memaklumkan, mangsa mengalami tekanan jiwa yang serius sejak tujuh hingga lapan bulan lalu dan diarahkan oleh doktor menerima rawatan mental namun dia enggan ke hospital.
Tambah beliau, mayat mangsa kini dalam tindakan pihak hospital bagi proses bedah siasat pada Sabtu sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.
Katanya, pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran.
"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.