AYER KEROH- Polis Melaka akan menjalankan siasatan berhubung tindakan memuat naik kertas undi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu yang tular di laman sosial, hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, tindakan berkenaan tidak sepatutnya dilakukan kerana ia jelas melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya (1954).
Menurut beliau, perkara itu dikesan oleh pasukan pemantau media sosial Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum laporan dibuat.
"Setakat sehingga tengah hari ini perjalanan hari mengundi bagi PRN Melaka berjalan lancar tanpa sebarang provokasi memandangkan persiapan rapi telah dibuat untuk memobilisasikan pegawai dan anggota di semua 217 pusat mengundi.
"Bagaimanapun, daripada pemantauan pasukan media polis, kita dapati ada pihak memuat naik gambar kertas undi di sosial media dan itu jelas melanggar undang-undang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sebelum ini, polis memberi jaminan proses pengundian PRN Melaka akan berjalan lancar di kesemua 217 pusat mengundi dan 1,109 saluran undi.
Seramai 3,797 pegawai dan anggota termasuk 1,250 anggota dari Bukit Aman akan dimobilisasikan di semua pusat pengundian. - Awani
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my