Megat D Shahriman intai jawatan Presiden APSF

Iklan
Megat D Shahriman - Foto Bernama

PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mengintai kerusi Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) dengan misi menstruktur semula organisasi itu ke arah kecemerlangan sukan para di rantau Asia Tenggara.

Sebagai permulaan, Megat D Shahriman berkata, hasratnya itu akan dibawa ke Mesyuarat Lembaga Gabenor (BoG) APSF yang akan bersidang secara dalam talian pada 29 Novemver ini untuk mendapatkan satu tarikh sesuai diadakan pemilihan bagi kerusi nombor satu itu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, antara inisiatif yang digariskan dalam manifestonya adalah memastikan Sukan Para ASEAN 2023 yang dijadual berlangsung di Phnom Penh, Kemboja tidak mengalami nasib sama seperti penganjuran edisi 2019 di Manila, Filipina dan edisi 2021 di Hanoi, Vietnam yang terpaksa dibatalkan.

"Saya tidak mahu cakap rakan ASEAN kita gagal tetapi mungkin Malaysia lebih serius dan komited untuk menggerakkan sesebuah organisasi, kerana kami (MPM) tengok APSF di bawah presiden terkini (Mejar Jeneral Osoth Bhavilai) banyak perkara tidak dapat dijalankan, tidak capai sasaran atau tunjukkan sebarang keputusan.

Iklan

"Jawatan presiden ini bukan untuk kemasyhuran atau syok sendiri tapi untuk melonjakkan sukan para Malaysia dan ASEAN ke tahap tertinggi. Kita juga ingin menaikkan tahap atlet dan persatuan sukan negara supaya semua negara ASEAN tahu Malaysia sangat komited,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media MPM bagi mengumumkan perkembangan terkini mengenai Sukan Para Asia (APG) 2022 di Hangzhou, China, Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021 di Bahrain dan pembatalan Sukan Para ASEAN 2021, di sini, pada Sabtu.

Iklan

Pada masa sama, Megat D Shahriman berkata, sekiranya Kemboja membuat keputusan untuk menolak menganjurkan Sukan Para ASEAN 2023, Malaysia mempunyai kemampuan untuk menjadi tuan rumah dalam usaha memastikan temasya dwitahunan itu tidak dibatalkan buat kali ketiga berturut-turut.

"Kenapa Malaysia boleh buat kerana infrastruktur yang kita ada, kedua kerana hubungan baik MPM bersama KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara). Kita mempunyai fasiliti,” katanya.

Sementara itu, beliau juga bercadang untuk mewujudkan sebuah ibu pejabat tetap APSF di Bukit Kiara dan perkara itu telah dibincangkan bersama Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof.

"Kemudahan di kawasan itu lengkap, kami mempunyai segalanya di sana, ada bangunan dan dewan. Saya memilih Bukit Kiara kerana ia kawasan yang prestij jadi ia sesuai sekiranya delegasi dari luar negara datang untuk bermesyuarat atau sebagainya,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Megat D Shahriman berkata, sebanyak 22 sukan melibatkan 604 acara dijangka dipertandingkan pada APG 2022 dengan anggaran 3,800 atlet dari 44 negara Asia akan mengambil bahagian.

Beliau berkata, jumlah atlet dan sukan yang akan disertai Malaysia pada temasya itu akan dibincangkan serta disenarai pendek pada mesyuarat awal antara MPM, MSN dan persatuan sukan kebangsaan pertengahan bulan depan. - Bernama