JEMPOL - Semua Pengerusi dan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Negeri Sembilan tidak terkecuali bakal berdepan tindakan sama seperti dikenakan kepada penjawat awam lain sekiranya mereka enggan menerima vaksin.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya akan memastikan segala arahan dan peraturan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) serta kerajaan negeri diguna pakai terhadap 866 Pengerusi dan Setiausaha MPKK.
"Tindakan tersebut juga terpakai terhadap Ahli Majlis di negeri ini sekiranya mereka enggan divaksin. Setakat ini kami belum menerima laporan Pengerusi atau Setiausaha MPKK mahupun Ahli Majlis yang enggan menerima vaksin," katanya dalam sidang media selepas Majlis penyampaian hak milik 34 penduduk Kampung Serampang Indah di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol, pada Sabtu.
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 dikeluarkan JPA pada 18 Oktober lalu, menetapkan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan boleh diambil terhadap penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada ketua jabatan untuk mendapatkan dos vaksin Covid-19 selepas 1 November 2021.
Sementara itu, Aminuddin berkata, ketika ini terdapat 27 penjawat awam di Negeri Sembilan yang enggan menerima suntikan vaksin, bagaimanapun jumlah itu semakin berkurangan berbanding minggu sebelumnya iaitu lebih kurang 40 orang.
"Diharap 27 individu terbabit dapat mengubah fikiran dengan bersetuju menerima suntikan vaksin," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Aminuddin berkata, seramai 61,291 penduduk di Negeri Sembilan sudah menerima suntikan 'booster' atau penggalak vaksin Covid-19 setakat ini.
"Mereka yang berumur 70 tahun ke atas adalah digalakkan untuk menerima suntikan tersebut. Suntikan vaksin 'booster' ini terbuka kepada semua, asalkan cukup umur, lengkap dos kedua vaksin dan cukup tempohnya adalah digalakkan menerima suntikan tersebut.
"Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini juga sudah ada yang sudah menerima suntikan 'booster'," katanya.