LANGKAWI - Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan diaktifkan semula untuk mengkoordinasikan semua agensi pelaksana bagi memastikan sasaran kerajaan membina 500,000 unit rumah mampu milik sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) tercapai.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan disertai oleh semua 15 agensi pelaksana serta kerajaan negeri.
"Saya sudah bawa cadangan (untuk aktifkan semula MPMMN) dalam kabinet baru-baru ini dan kabinet telah bersetuju dan majlis ini akan melihat keseluruhan 500,000 unit rumah mampu milik yang nak dibina, sebab kita ada 15 agensi pelaksana.
"Bukan hanya KPKT sahaja, kita ada PR1MA (Perbadanan PR1MA Malaysia), SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad), PPAM (Program Perumahan Penjawat Awam), PPR (Projek Perumahan Rakyat), serta agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Wilayah Persekutuan,” katanya dalam sidang media selepas melawat Loji Rawatan Termal Belanga Pecah dan PPR Anggerik Lestari di sini pada Sabtu.
Katanya, MPMMN akan memantau semua projek-projek pembinaan rumah mampu milik dan memastikan sasaran untuk membina 500,000 unit rumah menjelang 2025 dapat direalisasikan.
Mengenai PPR di bawah kementeriannya, Reezal Merican berkata, terdapat 16 projek membabitkan sejumlah 16,000 unit rumah dicadang untuk dibina dalam tempoh RMK12.
"Kita cadang untuk membina 3,000 unit rumah setiap tahun dan ada tahun yang kita mungkin bina lebih tetapi semua itu bergantung kepada kedudukan fiskal negara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Loji Rawatan Termal (insinerator) di Belanga Pecah di sini yang sebelum ini melalui proses pembaikan dan pemasangan komponen dan teknologi baharu akan beroperasi mulai bulan depan bagi memastikan pengurusan sisa pepejal di sini dilakukan secara berkesan.
Katanya, loji itu dapat menampung sehingga 100 tan metrik sampah sehari sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah sedia ada di pulau peranginan itu.
"Insinerator ini juga dilengkapi dengan loji rawatan bahan larut lesap (LTP) dan turut mematuhi pematuhan untuk tidak mengeluarkan dioxin dengan furan berdasarkan piawaian ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya. - Bernama