SHAH ALAM - Tidak mustahil penjajaran politik baharu melibatkan beberapa parti akan terbentuk sekiranya tiada parti yang mendapat majoriti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, penjajaran politik itu akan berlaku kerana kerajaan perlu ditubuhkan, namun menimbulkan persoalan siapa yang sanggup menggadaikan prinsip.
Menurutnya, kemungkinan calon Bebas yang memenangi kerusi pada PRN Melaka boleh menjadi 'king maker' untuk menyatakan sokongan kepada mana-mana parti menubuhkan kerajaan.
"Contohnya, jika ada calon Bebas yang boleh buat kejutan mungkin mereka boleh menjadi 'king maker'. Jika keadaan terikat 14-14 dan calon Bebas ini pergi ke pihak A atau B pun sudah boleh membentuk kerajaan.
"Tetapi, apa yang kita risaukan kalau jajaran politik ini, apakah tidak akan berlaku lagi perbuatan lompat-lompat parti lagi. Ini yang kita tidak mahu, nanti dua bulan akan datang bergaduh dan tarik sokongan. Siapa yang rugi? Orang Melaka juga terpaksa buat pilihan raya lagi," katanya dalam rancangan Sinar Live PRN Melaka: Melaka pilih siapa? pada Sabtu.
Mujibu berkata, diharap satu akta dapat dibentuk untuk mengelakkan berulang kejadian lompat parti sekiranya penjajaran politik itu perlu ditubuhkan di Melaka.
"Akta lompat parti perlu dilaksanakan yang membunuh niat YB (Yang Berhormat) untuk melompat pada masa akan datang," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut melihat peratusan keluar mengundi pada PRN Melaka kali ini sebanyak 65 peratus sudah cukup baik.
"Apa yang paling penting adalah bagaimana peratusan ini mampu diterjemahkan dalam konteks SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) sebagai pemegang taruh utama dalam pilihan raya mencari jalan untuk mendidik dan memudahkan pengundi mengundi," katanya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my