Chelsea kukuh cengkaman pendahulu EPL

Iklan
Barisan pemain Chelsea meraikan jaringan Kante di Stadium King Power sebentar tadi.

CHELSEA terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mudah membenam cabaran Leicester City 3-0 di Stadium King Power sebentar tadi.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-14 hasil jaringan Antonio Rudiger selepas dia menyambut baik sepakan penjuru yang diambil Ben Chilwell.

Iklan
Iklan

Pemain tengah licik dari Perancis, N’Golo Kante meletakkan Chelsea selesa di depan apabila menyumbang gol kedua The Blues pada minit ke-28.

Pada minit ke-71, ketenangan Hakim Ziyech mengawal bola dalam kotak penalti membuka ruang buat Christian Pulisic menyumbat gol ketiga Chelsea.

Iklan

Chelsea berpeluang berpesta gol di laman Leicester itu, namun tiga gol yang terhasil dalam tempoh 15 minit terakhir perlawanan menerusi Callum Hudson-Odoi, Pulisic dan Reece James dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.

Kemenangan itu menyaksikan Chelsea kini mengumpul 29 mata - enam mata di depan pasukan di tangga kedua, Manchester City yang akan berdepan Everton pada Ahad.

Iklan

Sebaliknya, prestasi tidak menentu Leicester menyaksikan mereka di kedudukan ke-12 apabila mengumpul 15 mata hasil daripada empat kemenangan, tiga seri dan lima kekalahan.