KETUA jurulatih baharu Barcelona, Xavi menafikan laporan bahawa penyerang Sergio Aguero dipaksa untuk bersara gara-gara masalah jantung yang dihadapi pemain Argentina itu sebelum ini.
Khabar angin tersebut timbul pada Sabtu yang mendakwa Aguero akan mengadakan sidang akhbar minggu depan untuk mengesahkan dia tidak akan meneruskan karier bola sepaknya.
"Berita yang tersebar mengenai Aguero akan bersara adalah tidak benar. Saya sendiri sudah cakap berkenaan tersebut. Dia kini tenang dan gembira.
"Malah saya sendiri minta dia (Aguero) pulang bersama kami bila dia sudah sihat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Xavi memuji aksi yang ditampilkan pasukannya ketika merekodkan kemenangan pertamanya sejak bergelar pengendali kelab Catalan apabila menumbangkan Espanyol 1-0.
Katanya, pemain bermain dengan bersungguh untuk memastikan tiga mata penuh dalam genggaman Barcelona.
"Saya sangat gembira dengan semangat yang ditampilkan pasukan untuk mendapatkan tiga mata.
"Kami tidak berada dalam keadaan yang bagus dan Espanyol memberi kami banyak masalah pada perlawanan ini.
"Saya fikir ia adalah kemenangan yang wajar buat kami," katanya.
Pada perlawanan tersebut, penalti Memphis Depay berjaya menjelmakan kemenangan buat Blaugrana meskipun Espanyol hampir-hampir berjaya menyamakan kedudukan apabila dua rembatan Raul de Tomas hanya terkena palang gol.
Dengan kemenangaan itu, menyaksikan Barcelona kini dibezakan lapan mata dengan pendahulu LaLiga, Sevilla yang sebelum ini seri menentang Alaves.