NCIA ketengah peluang perdagangan, pelaburan di Ekspo 2020 Dubai

Iklan
NCIA kini dalam misi perdagangan dan pelaburan di UAE untuk mengetengahkan peluang yang ditawarkan oleh NCER di Ekspo Dunia 2020.

DUBAI - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kini dalam misi perdagangan dan pelaburan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mengetengahkan peluang yang ditawarkan oleh Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di Ekspo Dunia 2020 yang sedang berlangsung di sini.

Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Delegasi NCIA, Hasri Hasan akan menerajui misi itu yang disertai kira-kira 60 wakil dari negeri NCER serta 10 syarikat Malaysia mulai 21 hingga 27 November 2021.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, objektif utama NCIA adalah menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke NCER, memasarkan produk dan perkhidmatan yang dihasilkan NCER ke pasaran global, mempromosikan projek dan program berimpak tinggi NCER di samping menghubungkan usahawan dengan rakan kongsi yang berpotensi.

"Saranan nilai NCER akan dipertingkat melalui ekosistem sedia ada merangkumi insentif khusus yang menarik untuk sektor utama, pembangunan ekosistem bakat melalui kerjasama dengan akademia dan industri, program penyetempatan vendor, projek di lokasi strategik dan taman perindustrian, serta mengutamakan bidang yang memerlukan penambahbaikan digital di NCER.

Iklan

"Kami merancang untuk mempamerkan peluang perdagangan dan pelaburan di NCER sebagai destinasi pelaburan pilihan di Malaysia, sejajar dengan Pelan Pembangunan Strategik (SDP) NCER 2021-2025, yang meliputi Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang,” katanya Bernama.

Hasri berkata, Ekspo 2020 Dubai itu juga akan menjadi platform untuk syarikat Malaysia di NCER menonjolkan dan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada dunia.

Iklan

"10 syarikat Malaysia daripada sektor pembuatan, bioteknologi, makanan dan minuman (F&B) serta perkhidmatan menyasar untuk memperoleh peluang perniagaan di Dubai,” katanya.

Pelan pemulihan pascapandemik SDP 2021-2025 NCIA untuk NCER telah membuahkan hasil dengan nilai pelaburan besar berjumlah RM21.41 bilion bagi 2021, lonjakan 34 peratus daripada apa yang disasarkan pada awal tahun.

Beliau berkata, pelaburan itu dijangka mewujudkan lebih 20,000 pekerjaan di NCER seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

Hasri berkata, dengan diterajui oleh NCIA, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai lebih RM25 juta dijangka ditandatangani antara delegasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia serta perniagaan yang berpangkalan di Timur Tengah semasa misi itu.

NCIA menjangkakan potensi perdagangan dan pelaburan ke NCER bernilai RM2.5 bilion melalui pembabitan dalam Ekspo 2020 Dubai, katanya.

"Kami sedang meneliti beberapa MoU yang akan membolehkan syarikat Malaysia, terutama dari NCER, untuk mengeskport produk mereka ke Timur Tengah,” katanya.

Hasri berkata, melalui sokongan berterusan daripada pihak berkepentingan di peringkat negeri dan Persekutuan, NCER berada dalam trajektori yang tepat untuk mencapai keseimbangan dan keterangkuman wilayah seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Duta Besar Malaysia di UAE, Mohd Tarid Sufian akan merasmikan Minggu Kelapan@Ekspo 2020 Dubai di Pavilion Malaysia pada Isnin, 22 November.

Penyertaan Malaysia secara keseluruhan di Ekspo Dunia itu diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), manakala Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

Malaysia adalah antara 192 negara dan organisasi yang menyertai Ekspo 2020 Dubai.

Ia berlangsung mulai 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022 dengan tema 'Menghubungkan Minda, Menciptakan Masa Depan'. - Bernama