PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer percaya beliau masih merupakan individu terbaik untuk menyelamatkan The Red Devils selepas diaibkan Watford 4-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Vicarage Road pada Sabtu.
"Saya sentiasa percaya pada diri sendiri tetapi sudah tentu pada masa ini ia adalah detik yang sukar untuk kami di kelab ini.
"Saya boleh lihat, dan percaya bahawa mereka semua pemain dan kakitangan telah memberikan semua yang mereka ada tetapi keputusannya sukar. Tetapi saya percaya masih boleh mengubahnya," katanya.
Pada perlawanan itu, gol Watford dijaringkan Joshua King pada minit ke-28', Ismaila Sarr (44'), Joaa Pedro (92') dan Emmanuel Bonaventure (96') manakala gol Manchester United dijaringkan pemain gantian Donny van de Beek (50') sebelum kapten pelawat, Harry Maguire dilayangkan dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-69'.
Prestasi Manchester United dibawah kendalian bekas pemain era Sir Alex Ferguson itu terus menimbulkan persoalan selepas melakar kekalahan keempat dalam lima perlawanan terakhir liga dengan bolos 15 gol menyaksikan kelab tersebut menduduki tangga ketujuh Liga - 12 mata di belakang pendahulu Chelsea lawan seterusnya di Stamford Bridge pada 29 November depan.
Selain itu, anak buah Solskjaer yang juga pendahulu Kumpulan F Liga Juara-Juara dijangka berdepan ujian getir apabila berdepan pesaing terdekat kelab La Liga, Villarreal dalam perlawanan di Estadio de la Cerámica pada awal pagi Rabu.
Pada masa sama Solskjaer mengakui perasan amarah dan kecewa para penyokong Manchester United berikutan kekalahan kepada skuad The Hornets kendalian Claudio Ranieri yang berada dalam kalangan kelompok bawahan liga tersebut.
Namun pada masa sama memuji respon dalam kalangan para pemainnya pada separuh masa kedua selepas kurang memberi impak sepanjang 45 minit babak pertama.
"Saya boleh memahami perasaan para penyokong yang telah menyokong kami dalam situasi turun dan naik kelab ini. Ini merupakan tempoh yang sukar sejak Sir Alex (Ferguson) tidak lagi bersama Manchester United.
"Kehadiran pemain-pemain seperti Jadon Sancho dan Cristiano Ronaldo dijangka dapat meningkatkan prestasi kelab musim ini selepas pengakhiran di kedudukan kedua musim lalu.
"Namun pada ketika ini kami nampaknya masih belum menemui pendekatan mengekalkan rentak konsisten kemenangan dalam beberapa perlawanan sejak kebelakangan ini.
"Ya, para penyokong-penyokong Manchester United mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan menunjukkan ekspresi terhadap prestasi kelab kesayangan mereka," katanya.
Sementara itu, penjaga gol Manchester United, David de Gea menyelar persembahan The Red Devils apabila menyifatkannya sebagai memalukan dan umpama mimpi ngeri yang berulang menghantui kelab itu.
"Memang memalukan untuk melihat Manchester United bermain seperti yang kami lakukan hari ini. Mudah untuk menyalahkan pengurus atau kakitangan tetapi kadangkala puncanya adalah daripada para pemain. Sebenarnya kami perlu memberikan lebih banyak lagi daripada apa yang kami lakukan di padang," kata pemain Sepanyol itu.