PENGENDALI Liverpool Jurgen Klopp, memuji aksi dipamerkan bintang Jepun, Takumi Minamino yang disifatkan telah beraksi cemerlang membantu kemenangan 4-0 The Reds ke atas Arsenal pada Sabtu.
Menurut Klopp, pemain berusia 26 tahun itu dilihat telah beraksi cemerlang di sepanjang perlawanan selain turut mejaringkan gol bagi membantu kemenangan pasukan.
"Saya begitu gembira dengan Taki (Minamino). Dia berada dalam detik yang menggembirakan hari ini dan sekali gus dia membuktikan bahawa dia adalah pilihan yang tepat.
"Saya juga pasti dia telah beraksi dengan baik bersama skuad kebangsaan Jepun pada aksi antarabangsa sebelum ini dan ini menjadikan dia sebagai antara pemain penting kami buat masa ini.
"Kami gembira dengan situasi ini dan sudah pasti, dia akan berada dalam kesebelasan pemain utama kelak,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Minamino yang masuk selaku pemain gantian turut menjaringkan gol pada minit ke-77 yang juga merupakan gol keempat bagi menjamin kemenangan The Reds.
Untuk rekod, setakat ini Minamino telah menjaringkan tiga gol buat Liverpool dalam semua pertandingan termasuk bagi saingan Piala Liga.
Sementara itu Klopp menyifatkan ketiadaan Roberto Firmino yang bergelut dengan kecederaan hamstring selain Diogo Jota (lutut) dan Divock Origi bakal membuka peluang buat Minamino untuk beraksi pada perlawanan berikutnya.
Malah katanya, ketiadaan dua penyerang sensasi, Mohamed Salah dan Sadio Mane yang bakal beraksi dalam Kejohanan Negara-Negara Afrika pada Januari juga dilihat sebagai kesempatan terbaik buat Minamino mempamerkan kehebatannya selaku penyerang The Reds.
"Ketiadaan pemain-pemain ini akan memberikan peluang kepada Minamino untuk beraksi dan membuktikan kewibawaannya. Saya harap dia berjaya,” katanya.