Petani resah 'banjir termenung' lambatkan musim baharu

Iklan
Johari (kiri) semasa turun padang melihat kawasan sawah padi yang ditenggelami banjir termenung di Rantau Panjang pada Ahad..

RANTAU PANJANG - Seramai 40 petani diselubungi perasaan resah apabila kawasan sawah seluas 156 hektar yang diusahakan mereka di Kampung Luar dan Terusan di sini, ditenggelami 'banjir termenung' sekali gus melambatkan musim kerja-kerja penanaman padi bagi musim hadapan.

Dakwa petani masalah itu berpunca daripada pembinaan tebatan banjir yang menyebabkan air teperangkap sekali gus menyebabkan berlakunya banjir termenung.

Iklan
Iklan

Wakil petani, Azli Jaafar, 53, berkata, kebiasaan petak-petak sawah itu tidak akan ditenggelami air walaupun hujan lebat dalam tempoh dua hingga empat hari.

"Namun situasi itu berubah apabila hujan turun sejak dua hari lalu menyebabkan kawasan itu ditenggelami air.

Iklan

"Selepas itu keadaan cuaca menjadi baik, namun air masih belum surut," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Menurutnya, jika situasi itu berterusan para petani tidak menolak kemungkinan kerja-kerja penanaman padi musim baharu akan bermula selewat-lewatnya bulan Mac tahun hadapan.

Iklan

Katanya, jesteru dia berharap pihak berkenaan dapat mencari alternatif terbaik untuk membantu para petani di kawasan tersebut.

Azli berkata, para petani dijangka akan terus berdepan kerugian jika kerja-kerja penanaman padi lewat dimulakan.

Azli (kiri) bersama Johari (tengah) semasa turun padang melihat kawasan sawah padi yang ditenggelami banjir termenung di Rantau Panjang pada Ahad.

"Keseluruhan petani di sini bergantung sepenuhnya kepada tamanan padi. Jadi bantulah kami untuk atasi masalah ini," katanya.

Seorang lagi petani, Che Nazir Che Soh, 62, mengakui buntu memikirkan kerosakan yang akan dialami olehnya akibat banjir termenung.

Katanya, sebanyak 305 pokok kelapa yang ditanam pada Mac lalu telah ditenggelami banjir termenung.

Dia berkata, selain pokok kelapa, pisang turut menjadi mangsa.

Menurutnya, sebanyak RM30,000 wang pencen telah dilaburkan untuk projek tanaman tersebut.

Sementara itu, Pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rantau Panjang, Johari Rashid berkata, pihaknya sedang mengumpul segala maklumat berkait dengan masalah yang dihadapi oleh para petani itu.

"Hari ini saya sendiri turun padang untuk melihat situasi sebenar dan segala maklumat yang diperoleh akan diajukan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut," katanya.