KLUANG - Balai Bomba dan Penyelamat Kluang menerima lebih 100 panggilan kecemasan berkaitan kebakaran terutamanya yang membabitkan kebun, ladang dan juga hutan sepanjang musim panas tahun ini di sekitar Kluang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penguasa Kanan Bomba Akob Sedek berkata, kes kebakaran terakhir berlaku melibatkan kawasan ladang dan hutan berkeluasan 10 ekar di Jalan Kiara, Kampung Abdul Rahman Yassin, petang kelmarin."Bagi mengawal kebakaran tersebut, kami telah mengambil masa kira-kira empat jam dengan membabitkan seorang pegawai dan tujuh anggota, serta dibantu oleh enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang.
"Kejadian kebakaran di sekitar kawasan seliaan balai ini (Kluang) meningkat secara mendadak terutamanya pada bulan Februari, di mana kebakaran pada bulan Januari sekitar 20 kes tetapi meningkat kepada 99 kes pada Februari," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, untuk bulan Mac sehingga kelmarin sahaja, pihaknya menerima 27 panggilan membabitkan kebakaran dan ini disebabkan cuaca panas yang berlaku sejak awal Februari lalu.
Katanya, pihaknya mengambil serius kejadian kebakaran berkenaan dan menasihatkan kepada orang ramai agar tidak melakukan pembakaran secara terbuka, terutama pada musim panas yang dijangka akan berlaku dalam masa beberapa bulan ini.
Sementara itu, ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin berkata, beliau turut menasihatkan kepada orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka buat masa sekarang ini kerana dikhuatiri akan berlakunya kejadian kebakaran yang serius.
"Begitu juga dengan pemilik dan pekerja di ladang saya meminta mereka dapat menghentikan pembakaran setelah melakukan kerja pembersihan di kawasan ladang masing-masing dan orang ramai juga perlu mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutamanya daripada pasukan bomba.
"Saya juga meminta orang ramai untuk menyertai pasukan bomba sukarela agar dapat membantu pasukan bomba sedia ada sekiranya berlaku kemalangan atau kebakaran memandangkan di daerah ini hanya terdapat dua balai bomba sahaja iaitu di Kluang dan Renggam," katanya.