MCA yakin kerjasama kerajaan pusat tidak terjejas: Ka Siong

Iklan
Wee Ka Siong - Foto Bernama

AYER KEROH - Kemenangan Barisan Nasional (BN) yang memperoleh mandat tunggal bagi membentuk kerajaan Negeri Melaka diyakini tidak akan menjejaskan sebarang bentuk kerjasama di peringkat pusat.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ini kerana beliau yakin konsep kestabilan demi kemakmuran yang diketengahkan menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka BN turut akan diangkat bersama pada peringkat pusat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia selari dengan apa yang diinginkan rakyat di negara ini.

"Seperti mana yang kita kekalkan di Melaka iaitu kestabilan membawa kemakmuran, saya yakin ia boleh dibawa di peringkat pusat. Saya juga yakin bahawa rakyat mahukan adanya kestabilan politik.

Iklan

"Pada saya, BN dapat teruskan apa juga hubungan dan mendapat manfaat yang baik kerana akhirnya akan memberi kebaikan kepada rakyat,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.

Beliau berkata, BN sendiri membuktikan semangat perpaduan yang tinggi setelah berjaya memperoleh kemenangan besar termasuk kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili calon MCA dan juga MIC.

Iklan

Justeru beliau optimis pucuk pimpinan peringkat persekutuan akan menterjemahkan semangat perpaduan yang sama demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

"Di peringkat pusat dengan (kerjasama) pemimpin-pemimpin berpengalaman, kita pentingkan hal kebajikan rakyat berbanding yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) MCA akan diberi kedudukan sebagai exco kerajaan negeri, Ka Siong berkata, perkara tersebut terlalu awal untuk dibincangkan.

"Apa pun kita serahkan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk menentukan barisan exco untuk pentadbiran negeri Melaka,” katanya.