BERA - Kerajaan akan memperkasakan sukan rakyat dan seni budaya dalam usaha memartabatkan seni warisan negara berikutan ia kian dilupakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain peringkat kementerian, penganjuran aktiviti berkaitan boleh dilakukan pada setiap minggu di setiap daerah.
Menurutnya, untuk merealisasikan program tersebut, satu tempat khusus perlu disediakan bagi menjalankan pertunjukan tetap.
"Contohnya di Bera ada Dataran Kerayong kalau boleh diadakan setiap minggu (sukan rakyat dan persembahan kebudayaan) saya yakin ramai orang akan tengok dan pelancong yang datang ke Bera juga boleh terlibat sama, boleh melihat permainan rakyat.
"Ia untuk mempromosikan produk budaya negara bukan sahaja kepada pelancong luar negara tetapi juga rakyat dari negeri lain yang tidak mengetahuinya.
"Kita akan minta Menteri Pelancongan berbincang dengan Menteri Kewangan untuk melihat dari segi perbelanjaan bagi tujuan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Program Merakyatkan Seni Budaya Komuniti Keluarga Malaysia 'Hogoh Bera' 2021 di Felda Kumai di sini pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri dan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.
Sementara itu, ketika ditanya pertunjukan kebudayaan yang dihentikan seperti Mak Yong kerana dikatakan mempunyai unsur syirik, Ismail Sabri berkata, perkara itu memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian terbaik.
"Kita tidak boleh nafikan pandangan sebegitu dan menerima apabila perkara itu difatwakan oleh majlis agama dan terserah kepada persatuan budaya negeri itu," jelasnya.