Bera berpotensi jadi destinasi ekopelancongan pilihan dunia: Nancy

Iklan
Nancy- Foto fail Bernama

BERA - Daerah Bera di Pahang berpotensi dijadikan sebagai salah satu destinasi ekopelancongan pilihan dunia kerana kaya dengan ekosistem semula jadi, menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, Tasik Bera, di sini contohnya terkenal sebagai tempat perlindungan kepada lebih 200 spesies burung, 50 mamalia dan 90 spesies ikan selain menjadi habitat kepada pelbagai jenis flora.

Iklan
Iklan

"Ini menjanjikan pengalaman unik kepada mereka yang menggemari aktiviti pelancongan bersifat semula jadi untuk melakukan aktiviti seperti ‘jungle tracking’ (merentas hutan)," katanya semasa berucap pada Program Komuniti Keluarga Malaysia 'Hogoh Bera 2020' di Felda Kumai di sini pada Ahad.

Program selama dua hari bermula pada Sabtu itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Iklan

Menurut Nancy, MOTAC akan memberi sokongan penuh kepada pengusaha inap desa termasuk di Felda Kumai untuk menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke daerah itu.

"MOTAC juga menyokong penuh segala aktiviti di bawah sektor pelancongan termasuk yang dikendalikan persatuan budaya dan organisasi luar termasuk menerusi penyediaan bantuan insentif dan latihan,” katanya.

Iklan

Mengulas mengenai penganjuran program itu, Nancy berkata, ia merupakan pendekatan turun padang oleh agensi kerajaan bagi mendekatkan diri dengan masyarakat melalui penglibatan komuniti di peringkat akar umbi. - Bernama