SETELAH agak lama tidak beraksi susulan pandemik Covid-19, pelumba negara mewakili Philips 66 Racing Team, Hugo Mavrick tidak sabar untuk menggegarkan perlumbaan endurance 1,000km Sepang (S1K) yang dijadualkan pada 26 dan 27 November ini.
Meskipun penularan wabak Covid-19 sedikit menjejaskan persiapannya namun Hugo tetap optimis mampu memberikan saingan sengit dalam perlumbaan sembilan jam yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
"Kami sudah bersedia dan saya akan cuba melakukan yang terbaik dalam S1K. Ia menjadi satu kelebihan jika saya boleh mendapat penamat podium dalam perlumbaan,” katanya dalam rakaman audio dikongsi kepada media pada Ahad.
S1K yang sebelum ini dikenali sebagai Merdeka Millenium Endurance Race (MMER) telah diperkenalkan sejak 2009 menyaksikan peserta berlumba menggunakan kereta di bawah 1600cc.
Berdasarkan perlumbaan tahun ini, sesi latihan bebas dan kelayakan diadakan pada Jumaat manakala perlumbaan sebenar berlangsung pada Sabtu bermula 11 pagi hingga 8 malam membabitkan 181 pusingan.
Penganjuran S1K telah menarik penyertaan antarabangsa termasuk Australia dan Jepun, namun pada edisi tahun ini, tiada penyertaan daripada peserta luar negara berikutan sekatan perjalanan akibat Covid-19.
Sementara itu, SIC dalam kenyataan memaklumkan kemasukan percuma di Grandstand Utama SIC akan dibuka kepada peminat yang sudah lengkap dua dos vaksin selain perlumbaan dapat ditonton secara langsung di laman Facebook SIC. - Bernama