ALOR SETAR - Cebisan anggota Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, yang dipercayai dibunuh di Langkawi, 16 Februari lalu dihantar ke Jabatan Kimia di Kuala Lumpur, pagi ini.
Ketua Polis Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, sampel yang dihantar adalah tengkorak, gigi dan gumpalan rambut setelah proses bedah siasat selesai dijalankan semalam.
Menurutnya, bedah siasat anggota milik kanak-kanak perempuan itu dijalankan pakar forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), bermula pada 11.30 pagi hingga 1 petang.
"Semua sampel diserahkan kepada Jabatan Kimia hari ini untuk tindakan susulan," katanya.
Mohd Iqbal berkata, hasil bedah siasat belum boleh didedahkan kerana pihaknya perlu menunggu keputusan Jabatan Kimia.
"Kita tidak boleh dedahkan butiran terperinci hasil bedah siasat itu kerana dibimbangi menggangu siasatan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Operasi jumpa rambut, gigi dipercayai milik Nur Aisyah Aleya
Bedah siasat Ahad, masih cari bukti baharu
Jumaat lalu, polis merampas dua penyangkut baju dari rumah suspek di kuarters Hospital Langkawi, dipercayai ada kaitan dengan unsur penderaan terhadap kanak-kanak itu.
Dua suspek melibatkan pasangan suami isteri berusia 37 dan 40 tahun, yang juga pengasuh mangsa kini direman sehingga 14 Mac depan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada Rabu, polis menemui tengkorak dipercayai milik Nur Aisyah Aleya di kawasan gaung Gunung Raya, selepas dua suspek terbabit ditahan di Ampang, Selangor sehari sebelum itu.
Operasi pencarian hari kedua di sekitar Gunung Raya menemui dua batang gigi dan gumpalan rambut dipercayai milik mangsa yang dilaporkan hilang sejak pertengahan bulan lalu.