PETALING JAYA - Sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke arah Klang pada awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.52 pagi.
Menurutnya, kejadian melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton, kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah lagi pacuan empat roda jenis Ford Ranger.
"Siasatan awal dijalankan mendapati Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki berumur 30 tahun telah hilang kawalan lalu melanggar sebuah Perodua Myvi.
"Akibat pelanggaran tersebut, Mitsubishi Triton berkenaan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar sebuah Ford Ranger yang berhenti di bahu jalan dipercayai mengalami kerosakan akibat tayar pancit," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, Mitsubishi Triton berkenaan kemudiannya berpusing dan melanggar pembahagi di tengah jalan.
"Mitsubishi Triton berkenaan kemudiannya terbakar selepas melanggar pembahagi jalan tersebut.
"Pemandu Mitsubishi Triton berkenaan mengalami kecederaan pada tangan dan mulut akibat kejadian manakala pemandu dua buah kenderaan lain iaitu Perodua Myvi dan Ford Ranger masing-masing tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1983.
"Orang ramai yang melihat kejadian dimohon tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung dengqn Pegawai Penyiasat Trafik Sarjan Saiful Hasan di talian 011-21942572 untuk membantu siasatan," katanya.