Perak kekal kejuaraan Piala Tun Abdul Razak

Iklan
Pemain-pemain Perak meraikan kejayaan mempertahankan kejuaraan TNB Piala Tun Abdul Razak selepas menewaskan Pahang pada perlawanan akhir.

PENYANDANG juara, Perak membuktikan pasukan itu dalam kelas tersendiri apabila mempertahankan kejuaraan TNB Piala Tun Abdul Razak selepas menundukkan Pahang 2-1 pada perlawanan akhir TNB Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini.

Saiful Sharil Saiful Bahri menjadi tunjang kejayaan Perak apabila menjaringkan gol kemenangan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh masa kedua.

Iklan
Iklan

Kemenangan itu meranapkan impian Pahang untuk merealisasikan kejuaraan pertama setelah beraksi tiga kali pada 2011, 2012 dan 2014 di pentas final.

Perak, yang mengetepikan cabaran naib juara tahun lalu Terengganu pada aksi separuh akhir, turun dengan reputasi ampuh berstatus juara 10 kali selain enam kali tampil di final sejak 10 tahun lalu.

Iklan

Jaringan awal Muhammad Akram Hakkam Jamaluddin pada suku pertama memberi kelebihan kepada Perak untuk mengukuhkan kedudukan dan mencatur strategi dengan lebih berkesan.

Dua suku pertama menyaksikan Perak lebih banyak mengasak tetapi Pahang berjaya menyerap segala tekanan terutama menerusi gerakan menyerang dari tengah.

Iklan

Permainan separuh masa kedua seimbang dengan kedua-dua pasukan bermain dengan intensiti tinggi untuk menembusi pertahanan lawan.

Kapten Pahang, Ismail Abu akhirnya menemui sentuhan menghasilkan gol penyamaan buat pada minit ke-37 sekali gus gol peribadi keempat menjadikan rentak permainan kembali rancak.

Bagaimanapun, Perak kembali di depan apabila Saiful Sharil Saiful Bahari tidak mensia-siakan peluang pukulan sudut penalti pada minit ke-44 untuk membolosi gawang gol Pahang.

"Alhamdulillah kami berjaya meraih kejuaraan dan pujian kepada semua pemain yang bermati-matian malam ini. Memang strategi kami untuk mencari gol awal dan ianya berhasil.

"Keseluruhannya, saya puas hati dengan prestasi pemain. Tanpa pemain senior, kami berjaya dengan barisan pemain-pemain muda dan ini menunjukkan bahawa Perak tidak ketandusan bakat hoki,” kata jurulatih Abdul Sukur Adam.


TNB PIALA TUN ABDUL RAZAK


JUARA: Perak

NAIB JUARA: Pahang

KETIGA: Melaka

FAIRPLAY: Melaka

PENJARING TERBANYAK: Muhammad Idris Samad (Pahang) 10 gol

PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN AKHIR: Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin (Perak)