Tidak adil desak Anwar letak jawatan: Hanipa

Iklan
Mohamed Hanipa. - Foto Gambar fail Awani

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin tidak bersetuju dengan desakan agar Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan atas prestasi buruk gabungan itu dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Katanya, tidak adil untuk hanya menyalahkan seorang individu sahaja sedangkan segala keputusan yang dibuat PH adalah secara kolektif.

Iklan
Iklan

Menurut Hanipa, dia menerima banyak mesej yang memintanya seolah-olah bersetuju untuk menyalahkan Anwar di atas kekalahan PH, khususnya PKR, pada PRN tersebut.

"Secara jujur, bagi saya, sesiapa pun berhak mengkritik hatta sepedas mana pun ke atas para pimpinan PH termasuk Anwar akibat kekalahan tersebut.

Iklan

"Ya, dengan hormat, agak 'fair' untuk mengatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim ada 'saham' bagi kekalahan PH dan kesemua calon PKR di Melaka.

"Tapi harus diingat, segala keputusan PH bukan dilakukan oleh beliau seorang sahaja. Setahu saya, PH sentiasa dipandu atas keputusan kolektif.

Iklan

"Maka menyalahkan hanya seorang individu sahaja sedangkan sebarang keputusan PH bukan bersifat keputusan tunggal, sebaliknya ia adalah keputusan kolektif.

"Bagi saya, maaf cakap, adalah tidak adil,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Parti Amanah Negara secara peribadi berpendapat PH masih memerlukan khidmat Anwar bersama kepimpinan sedia ada.

Gesaan agar ketua pembangkang itu berundur muncul selepas penampilan suram PRK yang kalah kesemua 11 kerusi yang ditandingi dalam PRN Melaka.

Pengkritik antara lain mendakwa keputusan Anwar mewajarkan tindakan mengambil 'katak politik' daripada UMNO dan Bersatu dengan alasan untuk mengembalikan mandat rakyat, sebagai antara punca kekalahan tersebut. - Awani

ARTIKEL BERKAITAN:Anwar perlu letak jawatan, bertanggungjawab atas kekalahan PH