LINGGA -"Kami mahu mesin pengeluaran wang automatik (ATM)."
Demikian hasrat penduduk Daerah Kecil Lingga, di sini, yang mana sehingga kini pekan itu masih belum memiliki kemudahan tersebut.
Sejak puluhan tahun lalu, penduduk setempat termasuk dari Kampung Banting perlu ke Sri Aman jika mahu menggunakan perkhidmatan perbankan itu.
Menurut pemilik kedai makan, Faridah Ling Abdullah, 55, keadaan itu menyukarkan penduduk memandangkan jarak perjalanan dari Daerah Kecil Lingga ke Sri Aman memakan masa sekitar 50 minit.
Lebih perit bagi penduduk di kawasan Banting pula, mereka perlu menaiki bot ke Daerah Kecil Lingga, sebelum menyewa kenderaan ke Sri Aman.
"Harapan saya bagus jika Kerajaan Negeri Sarawak mewujudkan ATM di Pekan Lingga.
"Penduduk di sini susah nak ambil duit, dan kalau ke Sri Aman kena bayar kos tambang lagi.
"Misalnya, penduduk masyarakat Iban di Ulu (atau Banting), semua terpaksa pergi ke Sri Aman.
"Kalau Kerajaan Negeri bagi bantuan RM250, kena bayar tambang lagi. Kalau ada lebihan pun dalam RM50 atau RM100 sahaja untuk bawa pulang ke rumah," katanya kepada Astro AWANI, di sini.
Bagi Usop Anoi, 73, pula, pada musim banjir, kadangkala dia terpaksa meminjam wang penduduk kampung terlebih dahulu.
Keadaan itu bertambah sukar bagi mereka yang tidak memiliki kenderaan dan terpaksa membayar tambang kereta sewa sebanyak RM20 untuk perjalanan dua hala.
"Lama dah (tiada ATM), berapa kali sudah minta. Saya sudah tinggal di sini 48 tahun, langsung tiada ATM.
"(Kalau banjir) tak dapat ambil wang, terpaksa pinjam dengan kawan dulu. Kadangkala sehingga empat atau lima hari baru boleh keluar (ke Sri Aman).
"Kalau orang tiada duit, tak dapat (pinjam)," keluhnya yang sudah tidak bekerja.
Dalam pada itu, Penghulu Kampung Lingga, Wan Amit Wan Kamil, 62, berharap pihak berkaitan dapat mempercepatkan permohonan untuk menyediakan mesin ATM di kawasan berkenaan.
"Dua minggu lepas sudah hantar (borang permohonan) dekat pejabat daerah, mungkin bila-bila (nak pasang ATM), itu tak pasti.
"Kalau ada mesin ATM memang memudahkan penduduk Daerah Kecil Lingga dan penduduk di kawasan Iban yang berdekatan.
"Jadi, ini memang harapan kami penduduk di sini agar boleh disediakan mesin ATM," ujarnya.
Daerah Kecil Lingga yang terletak di bawah Parlimen Sri Aman memiliki sekitar 4,580 penduduk. - Awani