JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin melepas dan membebaskan bekas pasangan kekasih atas lima pertuduhan mengedar dan memiliki dadah empat tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap Goo Woei Tye, 33, dan Yang Wendy, 25, pada akhir pendakwaan.
Woei Tye yang merupakan jurujual telefon bimbit menghadapi satu pertuduhan memiliki dadah ekstasi seberat 2.78 gram.
Kedua-dua mereka secara bersama menghadapi tiga pertuduhan mengedar ekstasi seberat 91.22 gram dan 71.33 gram serta ketamin seberat 14.89 gram.
Selain itu, kedua-dua secara bersama-sama turut didakwa memiliki dadah jenis sama seberat 40.14 gram.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah pangsapuri di Jalan Dato' Abdullah Tahir, di sini jam 6.45 petang, 12 November 2017.
Bagi pertuduhan mengedar dadah, pasangan bekas kekasih itu didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala bagi pertuduhan memiliki didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noor Hadi manakala kedua-dua tertuduh diwakili Mohd Daud Ismail dan R K Menon.