KUALA TERENGGANU - Prinsip tidak memaksa anak-anak untuk berbuat sesuatu perkara menjadi antara rahsia pesara guru, Hasnah Abdullah, 66, mendidik dan membesarkan sembilan anak berseorangan sehingga berjaya dalam bidang diceburi dan berbakti kepada masyarakat serta agama.
Berkat memegang prinsip tersebut ibu tunggal, dari Kampung Pauh, Telemong, Hulu Terengganu kini mampu tersenyum bangga kerana kesemua anaknya berjaya dibesarkan tanpa suami.
Anak kelahiran dari Kota Bharu, Kelantan ini yang kematian suami sejak 13 tahun lalu berkata, perkara pertama yang diterapkan dalam diri anak-anak ialah pendidikan agama kerana ia tunjang kehidupan individu.
Beliau turut mengingatkan anak-anak bahawa jika ingin berjaya, mereka wajib solat dan berdoa disusuli dengan usaha keras bagi mendapatkan impian itu
"Kalau nak baiki hubungan antara keluarga, perkara pertama yang kita kena buat ialah solat berjemaah dan dari solat berjemaah itu, kita akan belajar nilai hormat, nilai taat, nilai kasih sayang dan sebagainya.
"Selepas solat pula perlu anak-anak berzikir atau sedikit pesanan ringkas,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah sempena Majlis Anugerah Keluarga Mithali 2021, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), di Kompleks Ibu Tunggal, Chendering di sini,pada Isnin.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat,
Pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 serta sijil penghargaan.
Tambah Hasnah, satu lagi amalan keluarganya iaitu memastikan makan bersama bagi menikmati masa berkualiti.
"Waktu makan adalah waktu yang tenang dan menyeronokkan sebab kita boleh berinteraksi dengan anak-anak.
"Cara ini secara tidak langsung akan merangsang anak berinteraksi dan meluahkan pandangan mereka dengan lebih baik,” ujarnya.
Sementara itu, YPKT menerima 27 pencalonan untuk kategori Keluarga Lengkap Mithali dan 24 pencalonan daripada kategori Keluarga Tunggal Mithali.
Menurut Pengarah YPKT, Wan Zaki Wan Abdullah, pemilihan ini mengambil kira kriteria seperti keperibadian calon, kejayaan mendidik dan membesarkan anak-anak hingga anak-anak berjaya dengan cemerlang.
Katanya, ini termasuk sumbangan dan keaktifan dalam masyarakat, ketabahan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.