KUALA LUMPUR - Selepas prosiding berlangsung hampir 30 minit, hujahan di akhir pendakwaan bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ditangguhkan Rabu ini.
Ia selepas peguam, Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak dapat meneruskan prosiding kerana mengalami sakit gout.
Ketika memberitahu mahkamah di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Hamidi berkata, dia hanya dapat meneruskan prosiding sehingga jam 1.30 tengah hari kerana ada temu janji dengan doktor bagi merawat penyakitnya itu.
Bagaimanapun, peguam itu cuma mampu berbuat demikian selama 20 minit sebelum meminta mahkamah berhenti rehat kira-kira 10 minit.
Hamidi: Saya mohon maaf kepada mahkamah, kaki saya bengkak, saya tak sangka akan diserang penyakit ini.
Collin: Anda boleh duduk jika rasa tidak selesa.
Hamidi: Saya nak cakap pun agak sukar, jadi saya mohon prosiding ini ditangguhkan ke tarikh akan datang.
Permohonan peguam itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dan menyatakan, peguam bela Ahmad Zahid itu patut mendapatkan rawatan dengan segera.
Susulan itu, Collin membenarkan hujahan kes ditangguhkan dua hari lagi.
Semasa prosiding, Hamidi menghujahkan, bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid iaitu Mejar Mazlina Mazlan mempunyai penguasaan terhadap cek-cek Yayasan Akalbudi.
Ini katanya, menunjukkan Ahmad Zahid tidak bersalah kerana tidak mempunyai penguasaan terhadap cek-cek yang dikaitkan dengan pertuduhan kes.
Bukan itu sahaja beliau berkata, Mazlina yang juga saksi pendakwaan ke-90, cuai ketika menguruskan pengeluaran cek-cek Yayasan malah menggunakan cop tanda tangan Ahmad Zahid untuk pembayaran bil antaranya kad kredit tanpa pengetahuan anak guamnya.
"Cop tandatangan tidak sewajarnya digunakan untuk cek tetapi untuk urusan tidak rasmi seperti dalam kiriman kad hari raya.
"Maka kami berhujah, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap 12 pertuduhan pecah amanah yang dipertuduhkan ke atas Ahmad Zahid,” katanya.
Hamidi berkata, pihak pendakwaan tersalah arah dari segi undang-undang dengan menyatakan wang milik yayasan itu dipindahkan kepada pihak lain.
Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.