Empat lokasi pekan kecil di Perak dicadang jadi hab halal

Iklan
Zainol Fadzi (kanan) mencuba sendiri cara pembuatan karipap keluaran sebuah syarikat ketika mengadakanlawatan sempena Program Lonjakan Usahawan IKS Halal Park Tambun di Halal Park Tambun, di sini pada Isnin.

IPOH - Kerajaan Perak berhasrat menjadikan empat pekan kecil di kawasan Sungai Manik, Rungkup, Tanjung Tualang dan Lenggong dibangunkan sebagai hab halal baharu negeri ini.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata,

Iklan
Iklan

ketika pembangunan pekan kecil itu dilaksanakan, elemen atau spesifikasi untuk menjadi hab halal itu akan disertakan bagi memudahkan usahawan mendapat kemudahan bagi pensijilan halal.

Beliau memberitahu, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Exco jika mahu menaik taraf kemudahan itu bagi memenuhi spesifikasi hab halal.

Iklan

"Kenapa tidak kita jadikan empat pekan kecil itu menjadi hab halal. Ia satu peluang yang baik kepada usahawan di daerah berhampiran untuk masuk ke situ," katanya kepada pemberita mengadakan lawatan sempena Program Lonjakan Usahawan IKS Halal Park Tambun di Halal Park Tambun, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Perak, Lailatul Asmah Mohd Tahir; Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Mohamad Rozlan Mohamad Razalli dan beberapa ketua jabatan lain.

Iklan

Zainol Fadzi berkata, pembangunan hab halal itu akan dilaksanakan sebagai satu usaha bersama dengan semua jabatan dan agensi termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara)

Jelasnya, idea untuk memperluaskan hab halal di negeri ini timbul apabila mengetahui hanya terdapat satu sahaja di Perak iaitu di Halal Park Tambun yang hanya mampu menyediakan 54 premis kepada usahawan sedangkan permintaan untuk menyewa kemudahan di kawasan itu amat tinggi.

"Mara telah berbelanja agak besar juga RM1.9 juta bagi kerja ubahsuai dan naik taraf kompleks ini agar dapat memenuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) yang diperlukan bagi usahawan untuk memasarkan produk ke pasaran global," katanya.

Sementara itu, mengenai rungutan usahawan terhadap masalah kenaikan harga mentah, Zainol Fadzi berkata, perkara itu turut dirasai semua pihak bukan sahaja industri pemprosesan makanan tetapi industri pembinaan.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan mencari mekanisme bagi membantu mereka mengurangkan kos operasi awal sebelum perniagaan usahawan bermula.

Beliau berkata, pihaknya banyak menerima maklumat mengenai perkara itu namun tidak semua permintaan dapat ditunaikan kerana kekangan tertentu.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan keluhan golongan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang terbeban dengan kenaikan harga bahan mentah secara mendadak.