GEORGETOWN - Orang awam perlu memainkan peranan bagi menangani kes keganasan rumah tangga dengan melaporkan kes tersebut kepada ketua komuniti atau pihak berkuasa, kata Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Berucap pada pelancaran kempen ‘Penang Goes Orange 2021’ peringkat Pulau Pinang secara dalam talian pada Isnin, Ahmad Fuzi berkata, usaha itu mampu membawa perubahan besar terhadap seseorang individu yang menjadi mangsa keganasan.
"Usaha untuk mengekang masalah keganasan rumah tangga bukan tanggungjawab individu atau mangsa mahupun kerajaan semata-mata, sebaliknya penglibatan semua pihak termasuk orang sekeliling mangsa, jiran tetangga dan rakan sekerja adalah amat penting.
"Setiap individu di negeri ini berhak untuk berasa selamat dan bebas menjalani rutin hidup harian,” katanya.
Kempen tersebut yang dianjurkan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam terutama rakyat di negeri ini mengenai isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.
Ahmad Fuzi berkata, kempen itu juga dirangka untuk membuka ruang kepada mangsa keganasan rumah tangga dalam mencari jalan penyelesaian dan keluar daripada situasi tersebut.
"Penang Goes Orange 2021 bertemakan Keluarga Selamat: Berhubung, Komited, Kolektif membawa mesej menyeru masyarakat untuk berganding bahu menyebarkan kesedaran dan membantu mangsa keganasan dalam mendapatkan pertolongan yang diperlukan,” katanya. - Bernama