SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan peningkatan pendaratan tuna di Malaysia kepada 150,000 tan metrik di bawah pelaksanaan dua pelan strategi pembangunan industri tuna negara yang dilancarkan pada Isnin.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, dua pelan pembangunan tersebut ialah Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030 dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu, dan Laut Sulawesi 2021-2030.
Beliau berkata, di bawah Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030, MAFI menggariskan enam teras utama antaranya pematuhan instrumentasi domestik dan antarabangsa perikanan laut dalam dan tuna serta pembangunan spesifikasi vesel dan peralatan serta penetapan kuota tuna.
Menurutnya, teras lain bakal diberikan perhatian ialah pembangunan dan peningkatan teknologi perikanan tuna; pembangunan sistem pengurusan, kawalan dan profil industri perikanan tuna; peningkatan kapasiti pengawalseliaan perikanan tuna dan terakhir peningkatan kualiti pasca tuai serta nilai tambah perikanan tuna.
"Pelan strategik ini menyasarkan hasil yang kompetitif bagi memastikan pembangunan industri tuna negara dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif melalui pertambahan bilangan vesel laut dalam dan tuna yang beroperasi di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) Malaysia dan laut lepas.
"Ia juga menyasarkan peningkatan pendaratan tuna di Malaysia kepada 150,000 tan metrik, pembangunan vesel moden perikanan laut dalam dan tuna secara bersepadu, pematuhan resolusi domestik dan antarabangsa kepada sekurang-kurangnya 85 peratus dan peningkatan pasaran produk berasaskan tuna yang bernilai tinggi di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Bagi Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi, Ronald berkata, antara objektif utamanya adalah untuk meningkatkan pendaratan tuna dari perairan Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi.
Menurut beliau, pelan itu turut dibangunkan untuk memangkin pembangunan industri tuna melalui pelaburan swasta; membangunkan industri perikanan tuna secara mapan dan memenuhi piawaian antarabangsa; membangunkan modal insan dalam perikanan tangkapan dan pemprosesan tuna serta memantapkan sistem pengembangan dan pembangunan teknologi.
Katanya, walaupun Sabah dan Labuan terletak di sebelah Malaysia Barat, namun hasil tangkapan tuna di Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi perlu diberikan perhatian supaya ia dapat diurus dan dieksploitasi dengan baik bagi meningkatkan pendaratan tuna dan hasil ekonomi nelayan tempatan.
Beliau berkata, kedua-dua pelan yang disempurnakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Perikanan Sabah itu juga adalah selaras dengan hasrat Dasar Agromakanan Negara 2.0.
Pada masa sama, Ronald menegaskan bahawa pelaksanaan pelan tersebut memerlukan kerjasama kementerian, jabatan, agensi, pemain industri, sektor swasta dan para nelayan khususnya bagi memastikan industri tuna dalam sektor perikanan terus berkembang maju serta dimanfaatkan oleh semua pihak berkepentingan.
"Dengan inisiatif ini, pengurusan dan kawalan perikanan komersial dapat dipertingkatkan menerusi platform digital, peningkatan kepada pematuhan antarabangsa, peningkatan fasiliti pendaratan dan pengendalian hasil perikanan serta peningkatan produk perikanan laut dalam dan tuna,” kata beliau.
Dalam pada itu, Ronald berkata, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memperuntukkan sebanyak RM14 juta kepada Jabatan Perikanan Malaysia bagi menjalankan Projek Pembangunan Perikanan Komersial Laut Dalam dan Tuna.