Beri perhatian tuntutan, aspirasi rakyat

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah ucapan Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pemimpin negara perlu mendengar dan mengambil kira tuntutan rakyat semasa merangka sebarang dasar dan program untuk mereka.

Iklan
Iklan

Seri Paduka bertitah, ini kerana rakyat kini mahukan sebuah kerajaan bertanggungjawab yang mendengar pandangan dan aspirasi mereka.

"Rakyat hari ini bukan sahaja mahukan pembangunan bahkan sebuah kerajaan yang bersih, telus, bertanggungjawab serta mendaulatkan undang-undang untuk membawa negara ke tahap lebih baik," titah Sultan Abdullah.

Iklan

Seri Paduka bertitah demikian ketika merasmikan Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen di sini hari ini. Turut berangkat ke istiadat pembukaan itu Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Yang di-Pertuan Agong turut mahu rasuah terus diperangi kerana gejala itu membebankan rakyat dan meruntuhkan asas sesebuah negara.

Iklan

Yang turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengenai rasuah, Seri Paduka bertitah dalam mengejar kemajuan, soal integriti dan nilai-nilai murni hendaklah terus dititikberatkan.

"Beta suka menzahirkan penghargaan atas usaha kerajaan memperkenalkan Pelan Anti Rasuah Nasional dan menggubal undang-undang berkaitan untuk memperkukuh tadbir urus," titah Sultan Abdullah sambil berharap usaha yang dilakukan dapat memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah.

Titah diraja itu banyak memuatkan hal berkaitan kepentingan rakyat seperti kos sara hidup, kesejahteraan rakyat di bandar dan luar bandar selain cabaran ekonomi, pendidikan, keusahawanan, kedudukan Islam dan pengaruh media sosial.

Sultan Abdullah bertitah kerajaan sedar bahawa peningkatan kos sara hidup adalah antara cabaran dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Dalam hal ini, Seri Paduka menarik perhatian bahawa pelbagai inisiatif dilaksana kerajaan untuk membantu rakyat seperti penubuhan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, penyelarasan gaji minimum, pemberian Bantuan Sara Hidup, subsidi bersasar, program Food Bank serta peningkatan kualiti sistem penyampaian kerajaan.

"Kerajaan juga akan memperkukuh kerjasama strategik dengan sektor swasta dan badan bukan kerajaan dalam isu kepenggunaan serta meningkatkan penguatkuasaan terhadap pihak yang mengeksploitasi harga dan mengambil keuntungan berlebihan," titah Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Abdullah bertitah rakyat harus yakin dengan pelbagai langkah yang diambil kerajaan biarpun kesannya mungkin tidak segera dirasai.

"Rakyat juga perlu realistik dalam meletakkan harapan kepada kerajaan dan terus berusaha untuk memajukan diri ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup. Semestinya kerajaan beta akan sentiasa bersama rakyat dalam mengharungi cabaran ini,” titah Seri Paduka.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong bersyukur dengan keamanan, kesejahteraan serta pencapaian negara secara keseluruhan hasil daripada tadbir urus negara yang baik.

Titah Seri Paduka, kedudukan ekonomi dan kewangan Malaysia kekal kukuh dan berdaya saing meskipun berhadapan dengan cabaran ketidaktentuan ekonomi termasuk kesan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China serta kejatuhan harga komoditi utama.

Menurut Sultan Abdullah, ekonomi negara berkembang 4.7 peratus tahun lepas dengan jumlah perdagangan RM1.9 trillion dan hutang luar negara kekal terurus.

"Beta menyeru semua pihak khususnya sektor awam agar berganding bahu dengan kerajaan untuk membangunkan ekonomi negara dan seterusnya membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih disegani di persada antarabangsa," titah Seri Paduka.

Pada awal titah diraja itu, Seri Paduka menzahirkan penghargaan kepada Sultan Muhammad V sepanjang pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Sultan Abdullah, yang melafaz sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lepas, juga berikrar untuk meneruskan kesinambungan pemerintahan yang adil dan saksama berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan.

Seri Paduka turut mengajak semua ahli Parlimen dan rakyat untuk bersamanya dalam memelihara kesejahteraan dan kemakmuran negara. - Bernama