KEJOHANAN badminton Terbuka Indonesia kini menjadi fokus buat beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas usaha mereka merangkul kejuaraan Indonesia Masters di Bali minggu lalu tidak kesampaian.
Menurut Aaron, dia mahu segera melupakan kekecewaan itu dengan memberikan fokus pada Terbuka Indonesia yang mana peluang untuk meraih tiket Jelajah Dunia Akhir BWF bergantung kepada prestasi mereka pada kejohanan tersebut.
"Kami sudah beri yang terbaik pada aksi Masters Indonesia tapi kecundang di separuh akhir. Apa pun game itu sudah lepas dan kini saya dan Wooi Yik mahu buat yang lebih baik pada Terbuka Indonesia.
"Jadi ini peluang terbaik kami bagi menebus kegagalan pada Masters Indonesia. Saya harap kami mampu melangkah ke final pada Terbuka Indonesia kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Hasrat pemegang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu untuk menamatkan penantian merangkul gelaran pertama tidak kesampaian selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan ranking ke-10 dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi apabila kalah dalam pertarungan rubber set 18-21, 21-19, 17-21.
Aaron-Wooi Yik yang kini berada di ranking kelapan dunia akan bertemu pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel pada pusingan pertama Terbuka Indonesia yang dijadual bermula pada Selasa.
Sementara itu, pasangan beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mempunyai misi cukup penting bagi menghadapi Terbuka Indonesia.
Liu Ying berkata, dia dan Peng Soon akan cuba berusaha melakukan apa yang termampu bagi memastikan tiket ke Jelajah Dunia Akhir BWF kekal dalam genggaman mereka.
"Sudah tentu kami tidak mahu terlepas peluang beraksi pada World Tour (Jelajah Dunia Akhir BWF) tahun ini. Walaupun situasi kami tidak begitu baik tetapi kami tetap akan cuba.
"Saya harap kami dapat mencari momentum yang baik pada Terbuka Indonesia. Jadi kami harus fokus bermula perlawanan pusingan pertama esok (Selasa),” ujarnya.
Peng Soon-Liu Ying yang juga pemegang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu dijadualkan bertemu beregu tuan rumah, Zachariah Josiahno Sumanti-Hediana Julimarbela pada pusingan pertama.