HULU SELANGOR - Seorang pelajar tahun akhir di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di Selangor nekad untuk berubah setelah menyesali perbuatannya ditangkap khalwat bersama rakan sekelasnya dalam kawasan asrama perempuan pada November 2019.
Pelajar yang ingin dikenali sebagai Sufian, 24, dihantar ke Pusat Pemurnian Akidah (PPA) Baitul Iman Majlis Agama Islam (MAIS), Ulu Yam Bharu, di sini untuk menjalani proses pemulihan setelah diarahkan oleh pihak IPT berkenaan pada Mei tahun ini.
Anak sulung daripada enam beradik itu turut menceritakan situasi ketika dia ditangkap oleh ahli kariah masjid di kawasan asrama berkenaan sekitar jam 7.30 petang setelah pulang daripada melakukan tugasan di luar.
"Mula-mula kami rancang nak buat tugasan di luar bersama lima orang rakan menaiki sebuah kereta sewa. Selesai tugasan tersebut, rakan-rakan lain beransur pulang dan saya membuat keputusan untuk menghantar rakan saya ke asrama perempuan.
"Setibanya saya di sana, kami ditangkap dalam kawasan asrama tersebut. Ketika perkara tersebut terjadi ada pelbagai andaian bermain di fikiran, rasa macam diperangkap oleh rakan-rakan pun ada, seperti mereka sengaja meninggalkan kami berdua, tapi tak apalah hanya Tuhan yang tahu," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika Program Ziarah Ar-Riqab bersama media di Rumah Pemulihan Ar-Riqab MAIS pada Isnin.
Dalam pada itu, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab itu berharap dia mampu meneruskan kehidupan seperti biasa setelah menamatkan sesi pemulihan pada Disember ini.
Katanya, banyak ilmu dan pengisian yang dia peroleh sepanjang menjalani proses pemulihan bagi membantu dirinya memperkuatkan jati diri untuk menghadapi dunia luar kelak.
"Pengalaman saya ialah dapat kembali kepada konsep ketuhanan dengan melengkapkan ibadah fardu dan sunat, selain menambah ilmu fardu ain, fiqah, sirah, tafsir al-Quran.
"Ada juga sesi kaunseling menerusi modul Istitabah untuk berbincang berkenaan isu yang berlaku dan mendapatkan jati diri bagi menghadapi dunia luar.
"Saya ingin meneruskan kehidupan dan mengejar cita-cita sebagai seorang pendidik, anak yang soleh dan memberi manfaat kepada masyarakat seperti yang diterapkan dalam ajaran di sini," ujarnya.
Dalam pada itu, penguasa di PPA Baitul Iman MAIS, Ulu Yam Bharu, Mazlina Osman berkata, pusat tersebut telah menempatkan 734 pelatih setakat November sejak ia ditubuhkan pada 2000.
Katanya, pelatih yang dihantar ke sini meliputi pelbagai kesalahan seperti masalah sosial, akidah, arak dan judi akan melalui proses pemulihan minimum selama enam bulan atau lebih bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.
"Selain pelatih yang dihantar atas arahan pihak mahkamah, terdapat juga individu yang memasuki pusat ini secara sukarela menerusi penghantaran dokumen meliputi akuan sumpah dan laporan polis.
"Kami juga menjalinkan hubungan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada tahun 2013 agar pesalah dalam ruang lingkup berkaitan dihantar ke sini untuk tujuan pemulihan," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, penguasa di Pusat Pemulihan Baitul Islah MAIS dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Serendah, Fadzirul Akmal Mohd Sharif berkata, pusat tersebut telah menempatkan 73 klien sejak ia ditubuhkan pada 2018 sehingga kini.
Katanya, klien yang dirujuk dari hospital-hospital di Selangor seperti Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang akan melalui proses pemulihan selama setahun atau lebih jika masih belum pulih.
"Namun jika klien mendakwa dirinya dibuang keluarga atau hilang tempat tinggal, mereka dibenarkan tinggal di sini sehingga diyakini boleh hidup berdikari atau sehingga meninggal dunia," katanya.