Penganggur dicekup bersama 304 biji pil yaba

Iklan
Pil yaba yang ditemui bersama suspek di belakang sebuah rumah.

PASIR MAS - Seorang penganggur berusia 41 tahun ditahan bersama 304 biji pil yaba dalam satu serbuan di kebun yang terletak di belakang sebuah rumah di Kampung Bechah Tendong, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pihaknya melakukan rondaan di kawasan berkenaan pada jam 5.30 petang dan menemui suspek dalam keadaan mencurigakan di lokasi tersebut.

Iklan
Iklan

"Semasa penemuan berkenaan, suspek menggenggam empat biji pil yaba di tangan kanannya dan pemeriksaan lanjut menemui 300 biji pil yaba di dalam plastik hijau yang diletakkan di celah pelepah kelapa di kawasan yang sama," katanya pada Selasa.

Menurutnya, keputusan ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai empat rekod lampau melibatkan dadah.

Iklan

"Suspek mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya dan memberitahu bekalan berkenaan diperoleh daripada seorang individu yang tinggal di sebuah kampung di Kota Bharu.

"Siasatan akan diteruskan untuk mengenal pasti maklumat lanjut berkenaan individu berkenaan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM3,040 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama.