JURULATIH England, Gareth Southgate melanjutkan kontrak sebagai pengendali skuad kebangsaan hingga Disember 2024 menurut Persatuan Bola Sepak England (FA).
Ini bermakna, Southgate akan terus diberi kepercayaan untuk mengendali The Three Lions pada saingan Piala Dunia Qatar 2022 dan kelayakan Euro 2024.
Selain Southgate, pembantunya, Steve Holland, juga memeterai kontrak baharu untuk kekal menjalankan tugasannya membimbing England.
"Saya gembira kerana saya dan Steve diberi kepercayaan sekali lagi untuk memainkan peranan membimbing skuad England.Untuk terus memimpin pasukan ini adalah satu keistimewaan yang luar biasa.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Mark, John dan ahli lembaga pengarah atas sokongan mereka termasuklah para pemain serta kakitangan sokongan.
"Kami memiliki peluang besar dan saya rasa peminat juga teruja dengan apa yang mampu dicapai oleh skuad ini pada masa depan." katanya.
Untuk rekod, Southgate yang merupakan bekas pemain pertahanan England, menggantikan Roy Hodgson sebagai pengurus pada 2016 berikutan aksi longlai Three Lions tewas kepada Iceland dalam pusingan 16 terakhir pada kempen Euro 2016.
Dia juga berjaya membawa pasukan England ke separuh akhir di Piala Dunia di Rusia, di mana mereka tewas 2-1 kepada Croatia dalam masa tambahan.
Malah pada saingan Euro 2020, Southgate berjaya membawa England ke peringkat final tetapi tewas kepada Itali menerusi sepakan penalti di Wembley.