SLOVAKIA pada Isnin memperkenalkan sekatan yang lebih ketat ke atas rakyatnya yang belum divaksin untuk tempoh tiga minggu.
Mereka dilarang untuk ke pusat membeli belah, gimnasium, kolam renang, hotel serta sektor tidak penting.
Mereka yang belum divaksin juga tidak dibenarkan menghadiri sebarang perhimpunan awam secara besar-besaran seperti acara sukan.
Bagaimanapun, mereka yang tidak divaksin perlu membuktikan keputusan ujian calitan negatif sebelum ke tempat kerja.
Menurut Menteri Dalam Negeri Slovakia Roman Mikulec, pengawasan polis di jalanan yang lebih ketat akan diadakan bagi memantau mereka yang melanggar peraturan.
Penggunaan katil dengan ventilator di hospital juga dilaporkan mencapai kapasiti tinggi.
Lapan daripada sepuluh pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di hospital terdiri daripada mereka yang belum melengkapkan vaksinasi.
Ketika ini, Perdana Menteri Slovakia Eduard Heger membangkitkan kemungkinan akan mewajibkan vaksinasi ke atas warga emas namun hasratnya itu belum menerima sokongan dari parti gabungannya.
Slovakia mengenakan sekatan berkenaan mulai 22 November dan sekiranya tiada perubahan positif, sekatan yang lebih ketat dirancang akan dilakukan ke atas semua warganya. -Awani