MANCHESTER United perlu melantik Michael Carrick sebagai pengurus sementara sehingga penghujung musim, namun pada masa sama menyasarkan Mauricio Pochettino sebagai pengendali utama kelab tersebut untuk jangka panjang.
Bekas penyerang sensasi kelab itu, Dimitar Berbatov berkata, Carrick merupakan pengganti ideal untuk mengurus para pemain The Red Devils bermula dengan tugasan di saingan Liga Juara-Juara diikuti perlawanan kompetetif dan berintensiti tinggi hujung minggu ini.
"Jika United mahu melantik jurulatih sementara untuk baki musim ini maka Michael Carrick adalah orang yang tepat.
Dia sudah lama berada di kelab itu, pertama sebagai pemain kemudian sebagai jurulatih di bawah Jose Mourinho dan Solskjaer.
"Saya mengenali Carrick dengan baik dan, sepanjang kariernya, dia belajar daripada beberapa pengurus terbaik.
"Dia seorang pemimpin yang berpengalaman dan seorang petah berkomunikasi untuk meraih penghormatan rakan profesionalnya. Pemain United akan mendengarnya dan bermain untuknya," kata Berbatov.
Carrick yang juga bekas rakan sepasukan Berbatov di Manchester United yang berusia 40 tahun itu dilantik sebagai pengurus sementara di Old Trafford susulan pemecatan Ole Gunnar Solskjaer.
Sementara itu, Pochettino yang berusia 49 tahun berada dalam radar Manchester United sejak prestasi terumbang-ambing kelab itu berkemungkinan berdepan halangan daripada gergasi Ligue 1, Paris St Germain yang tidak akan mudah membenarkannya meninggalkan musim ini.
Pochettino masih dalam kontrak di PSG sehingga 2023, namun disebut-sebut sebagai calon yang paling sesuai untuk United, dengan bekas pemain pertahanan mereka Gary Neville mencadangkan pemain Argentina itu akan mengambil peluang untuk memulihkan prestasi kelab tersebut.
Jelas Berbatov lagi, Pochettino masih dalam kontrak bersama PSG, menyebabkan sukar untuk melihat bekas pengendali Tottenham tersebut di Old Trafford dalam masa terdekat.
"Satu-satunya penyelesaian yang saya boleh lihat ialah jika (bekas pengurus Real Madrid) Zinedine Zidane pergi ke PSG. Jika dia terbuka untuk itu maka saya dapat melihat pertukaran untuk Pochettino akan berlaku tidak lama lagi.
"Ramai penyokong United akan gembira melihat Pochettino bertanggungjawab dan saya boleh faham mengapa selepas kejayaannya di Tottenham dan komitmennya untuk membina pasukan," katanya.
Untuk rekod, Pochettino gagal memenangi trofi di Spurs tetapi berjaya membangunkan skuad muda dan membawa kelab London itu ke final Liga Juara-Juara.
Pada masa sama Berbatov turut bersimpati kepada Solskjaer berkata, pengendali dari Norway berusia 48 tahun itu sentiasa perlu membuktikan dia adalah pelantikan yang tepat.
"Sejak hari pertama orang mempersoalkan sama ada Solskjaer adalah orang yang sesuai untuk tugas itu dan ia akan sentiasa merugikan.
"Ia akan menjejaskan keyakinannya dan prestasi pasukan. Kita semua adalah manusia dalam bola sepak dan apabila orang sentiasa meragui anda, ia akan sampai kepada anda," katanya.