PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa berkata, tiga mekanisme baharu akan dilaksanakan bagi memastikan pengurusan kemasukan produk daging import halal dari luar negara ke Malaysia terjamin.
Beliau berkata, mekanisme dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama beberapa agensi berkaitan itu adalah rentetan daripada episod kartel daging import pada Disember tahun lepas yang telah membuka mata banyak pihak mengenai kepentingan sistem pengurusan rantaian bekalan halal di Malaysia.
Berucap merasmikan Persidangan Halal Kebangsaan 2021 secara maya pada Selasa, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan mekanisme itu mensyaratkan produk berasaskan haiwan import yang disimpan di gudang untuk mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di bawah skim logistik kategori penggudangan.
"Produk berasaskan haiwan yang diimport perlu menggunakan rangkaian pengangkutan mempunyai SPHM di bawah skim logistik kategori pengangkutan," katanya.
Selain itu, katanya, prosedur mandatori pembungkusan semula yang mewajibkan syarikat mendapatkan pensijilan halal Malaysia di bawah skim produk makanan turut diwujudkan.
Isu kartel daging import mula mendapat perhatian ramai pada Disember lepas setelah media melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.
Dalam pada itu, bagi memperkasakan pensijilan halal Malaysia, Ismail Sabri berkata, Jakim juga sedang membangunkan Sistem Maklumat Bersepadu Halal yang akan menjadi pangkalan data halal dengan kos RM3.4 juta.
Pangkalan data itu merangkumi enam sistem iaitu MYeHALAL (domestik), MYeHALAL (antarabangsa), Sistem Cetakan Sijil Elektronik (e-Cert Print System), Malaysia International Halal Authority Board (MyIHAB), Modul Permohonan Rumah Sembelihan Luar Negara dan Modul Pengurusan Ramuan Produk Halal Malaysia (MyHALAL Ingredients).
Sebagai contoh, katanya, melalui MyIHAB, Jakim dapat mengawal selia 84 badan pensijilan halal luar negara daripada 46 negara yang diiktiraf oleh Jakim.
"Insya-ALLAH, melalui perancangan yang dijangka bermula pada tahun 2023 nanti, Keluarga Malaysia akan dapat menyemak status halal produk daripada luar negara melalui sistem ini," katanya.
Ismail Sabri yang turut melancarkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 berkata, Jakim kini sedang membangunkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Antarabangsa) dan Modul Eksekutif Halal Antarabangsa.
Kedua-dua manual yang sedang dibangunkan itu bertujuan memperkasakan sijil halal Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi Program Pengantarabangsaan Persijilan Halal Malaysia yang akan membolehkan pemain industri luar negara memohon persijilan halal Malaysia secara terus daripada Jakim, katanya.
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan juga akan memberi keutamaan untuk memperkasakan usahawan halal bumiputera melalui program bimbingan dengan melibatkan beberapa kementerian berkaitan.
Beliau berkata, usaha pemerkasaan pensijilan halal Malaysia oleh Jakim selama ini telah mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Standard Malaysia dengan penerimaan akreditasi ISO/IEC 17065 pada 10 Okt 2020, sekali gus menjadikan Jakim sebagai badan pensijilan halal pertama di negara ini yang diiktiraf di peringkat global.
"Akreditasi ini memberikan impak bukan sahaja kepada pelbagai produk yang telah dipersijilkan malah menyumbang kepada tadbir urus pelaksanaan pensijilan halal yang lebih baik," katanya.
Memetik laporan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri yang menjangkakan pasaran halal akan menyumbang 8.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan janaan pendapatan eksport sebanyak RM56 bilion menjelang 2025, beliau menggesa agensi, kementerian berkaitan dan pemain industri untuk meningkatkan kebolehpasaran produk halal tempatan ke peringkat antarabangsa.
Pada 2020 sahaja, menurutnya, industri halal telah menyumbang sejumlah RM9.7 bilion kepada KDNK negara.
Perdana Menteri optimis industri halal berpotensi menjana ekonomi negara berikutan populasi penduduk Islam dunia ketika ini berjumlah 1.8 bilion dan akan terus meningkat sehingga 2.2 bilion pada 2030.
Berdasarkan kepada angka tersebut, permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal mampu melonjak tinggi sehingga mencecah AS$680 bilion setahun, katanya. - Bernama