AMPANG - Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Bukit Belacan di sini disifatkan terburuk sejak kali terakhir bencana sama berlaku pada tahun 2012.
Seorang penduduk, Mohd Sharif Apen, 63, berkata, rata-rata penduduk tidak bersedia dengan kejadian banjir kali ini yang dianggap luar biasa.
Menurutnya, penduduk terkejut apabila paras air mencecah 1.2 meter menyebabkan beberapa barangan dan dokumen penting tidak sempat diselamatkan.
"Jiran saya memaklumkan, dia tidak sempat menyelamatkan beberapa barangan berharga yang rosak dan ditenggelami banjir.
"Malah, ada juga kenderaan terperangkap di dalam banjir yang mula melimpah ke jalan dan rumah penduduk dalam sekelip mata," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Mohd Sharif berkata, hujan berterusan sejak jam 5 petang Isnin mengakibatkan banjir kilat pada jam 8 malam Isnin.
Katanya, semasa kejadian dia berada di Ayer Keroh, Melaka dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Belacan.
"Saya dihubungi isteri dan anak-anak memaklumkan air dari Sungai Ampang mula melimpah keluar di jalan dan rumah penduduk.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, kawasan terlibat ialah di Taman Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan di sini.