KUALA LUMPUR - Kerajaan masih meneliti cadangan untuk memansuhkan semakan rekod bekas banduan oleh pihak ketiga khususnya majikan demi keselamatan semua pihak.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, semua aspek perlu dipertimbangkan sebelum membuat sesuatu keputusan.
"Ini satu pandangan yang baik, namun begitu, kita sedang meneliti dari segi keselamatan termasuk keselamatan banduan dan majikan yang akan mengambil pekerja yang terdiri daripada (bekas) banduan ini.
"Kita juga yakin, banduan yang telah kita berikan latihan kemahiran (ketika dalam penjara) dapat diterima oleh masyarakat setempat,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Salim Mohd Sharif (BN-Jempol) yang mahu tahu adakah kerajaan melihat cadangan untuk memansuhkan semakan rekod bekas banduan oleh pihak ketiga seperti dicadangkan Kementerian Sumber Manusia realistik untuk dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai aspek khususnya terhadap kepentingan dan keselamatan pihak majikan dan kakitangan.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, kementerian melalui Jabatan Penjara Malaysia menyediakan pelbagai program termasuk aspek kerohanian dan kemahiran sebagai persediaan untuk bekas banduan memulakan kehidupan baharu sebaik selesai menjalani tempoh penjara.
"Baru-baru ini tular video banduan bebas disambut oleh ahli keluarga dan masyarakat termasuk sahabat-sahabat mereka dan ini satu perkara yang sangat membanggakan baik kepada banduan itu sendiri, keluarga atau masyarakat.
"Ini menunjukkan bahawa program yang dianjurkan oleh Jabatan Penjara Malaysia beri impak positif bagi memastikan banduan ini dapat diterima oleh masyarakat setempat,” katanya.