25 nelayan Vietnam ditahan ceroboh, rompak hasil laut

Iklan
Dua buah bot yang ditahan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman pada Ahad. - Foto ihsan Maritim Malaysia Zon Kemaman

KEMAMAN - Cubaan 25 nelayan Vietnam menceroboh perairan negara untuk merompak hasil laut tidak berhasil apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini pada Ahad.

Iklan
Iklan

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kesemua nelayan termasuk tekong berusia 18 hingga 50 tahun itu ditahan di sekitar 64 hingga 66 batu nautika timur Kuala Kemaman, kira- kira jam 9 pagi.

Beliau berkata, kesemua ditahan dalam Ops Kuda Laut dan Ops Naga Barat yang dijalankan berikutan maklumat risikan dan aduan komuniti nelayan mengenai pencerobohan bot nelayan asing Vietnam di perairan Terengganu.

Iklan

Sehubungan itu, pihaknya mengesan dua bot nelayan asing Vietnam dalam keadaan mencurigakan.

Seramai 25 nelayan termasuk tekong yang ditahan untuk siasatan selanjutnya. - Foto ihsan Maritim Malaysia Zon Kemaman

Iklan

"Kesemua mereka yang menaki dua bot cuba melarikan diri daripada diperiksa apabila melihat kelibat Kapal Maritim (KM) GEMIA. Mereka kemudian dikejar dan berjaya dipintas sebelum ditahan.

"Rampasan dianggarkan bernilai RM3 juta termasuk 500 kilogram ikan campur, diesel anggaran 2,000 liter dan peralatan menangkap ikan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Rashidilhadi berkata, bot dan hasil rampasan bersama nelayan Vietnam terbabit dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman dan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.

Mereka didakwa atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia serta Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan Jabatan Perikanan.