Musim tengkujuh: CDERT-APM latih anggota baharu

Iklan
Nik Saiful (tiga dari kanan) menerima khemah untuk kegunaan di pusat pemindahan banjir.

KOTA BHARU - Pasukan Tindakan Kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (CDERT-APM) Ketereh bersiap sedia melatih anggota baharu bagi menghadapi banjir pada musim tengkujuh di negeri ini.

Pegawai Memerintah Pasukan CDERT-APM Ketereh, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, latihan dijalankan pada awal bulan ini melibatkan 25 anggota sukarelawan APM baharu sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Iklan
Iklan

"Latihan dijalankan selama dua hari merangkumi persiapan sebelum banjir, operasi menyelamat mangsa, pengurusan pusat pemindahan sementara dan kemahiran melibatkan pengurusan bencana.

"Latihan dilakukan dengan kerjasama Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Kota Bharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sebelum itu, pelancaran pasukan petugas banjir yang dirasmikan oleh Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Bharu, Kapten (PA) Md Fadir Md Nor turut diadakan.

Hadir sama, Ketua Kompeni Perubatan, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Dr Nurul Ain Razali dan Ketua Kompeni CDERT APM DUN Melor, Mejar Bersekutu (PA) Wan Muhammad Faisal Wan Zin.

Iklan

Nik Saiful Adli berkata, kali ini tahun ketiga pasukan terbabit terlibat dengan operasi banjir.

"Paras air yang berada pada paras amaran di Sungai Golok, Rantau Panjang dan cuaca hujan yang tidak menentu menjadi antara petunjuk pasukan supaya sentiasa bersedia.

"Lazimnya, paras air di sungai-sungai sekitar Kelantan menjadi amaran awal bagi pasukan dalam menghadapi sebarang kemungkinan lebih-lebih lagi apabila berada dalam musim tengkujuh sekarang,” katanya.

Tambah beliau, satu kursus khas pengurusan banjir meliputi skop kawasan Parlimen Ketereh, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Kok Lanas dan Kadok turut dijalankan dengan kerjasama PPAD Kota Bharu di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, Melor pada Selasa.

"Kursus dihadiri 60 Pegawai dan Anggota Sukarelawan CDERT APM Ketereh,” katanya.