Rakyat masih susah, sekarang bukan masa sesuai untuk PRU15: Nazri

Iklan
Mohamed Nazri
KUALA LUMPUR- Belum masanya untuk Parlimen dibubarkan dan diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana ketika ini, rakyat masih berada dalam kesusahan, tegas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurut Ahli Parlimen Padang Rengas itu, tumpuan, sebaliknya, harus diberikan untuk memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat Covid-19.

Hujah beliau, perbelanjaan untuk menguruskan PRU15 sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat yang baru mahu memulakan hidup.

Iklan
Iklan

"Saya bersetuju kalau nak buat apa-apa untuk kepentingan rakyat bukan parti, tetapi kena ingat buat masa ini kalau kita sebut kepentingan rakyat, maka bukan bubar Parlimen dan adakan pilihan raya.

"Kalau betul nak jaga kepentingan rakyat, kena tengok sekarang rakyat tengah susah sebab Covid-19 masih belum reda dan pemulihan ekonomi masih berjalan.

Iklan

"Belanja untuk lakukan PRU15 tentulah besar. Kalau PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka pun perbelanjaannya cecah RM45 juta, bayangkan kalau PRU15?

"Buat masa ini lebih baik perbelanjaan sebesar itu digunakan untuk membantu rakyat dengan memulihkan ekonomi mereka, barulah rakyat lihat kita jaga kepentingan mereka," katanya kepada Astro AWANI.

Iklan

Nazri juga menjelaskan, sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan dilihat sebagai mengkhianati anak muda kerana mereka yang berumur 18 tahun tidak sempat mengundi.

Jelas beliau, seeloknya PRU15 diadakan pada 2023 setelah segala proses bagi membolehkan mereka yang berumur 18 tahun diselesaikan.

"Kalau buat selepas segala urusan bagi membenarkan mereka yang berumur 18 tahun mengundi, maka UMNO akan dapat dilihat ikhlas mahu anak muda terlibat dalam proses pembentukan kerajaan.

"Kalau bubar (Parlimen) tahun ini, anak muda akan lihat UMNO dan BN khianati mereka dan tidak jujur sebab ketika Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan, Ahli Parlimen UMNO menyokong usul meminda Perlembagaan untuk membolehkan mereka yang berumur 18 tahun mengundi.

"Jadi jangan gopoh, selesaikan pemulihan ekonomi rakyat, selesaikan urusan untuk benarkan umur 18 tahun mengundi, barulah adakan PRU15, seeloknya 2023," katanya lagi.

Nazri juga mengingatkan mereka yang ghairah mahu PRU15 disegerakan agar belajar daripada apa yang berlaku di Melaka apabila rakyat menghukum pihak yang menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa dibubarkan.

"Kita jangan hanya seronok sebab menang besar dalam PRN Melaka tetapi kena lihat apa yang berlaku, mereka yang menyebabkan DUN dibubarkan telah dihukum.

"Tiga daripada empat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang menarik sokongan kalah dalam PRN Melaka kerana dihukum oleh rakyat. PH yang terima mereka juga dihukum.

"Jadi kita jangan buat sampai rakyat pulak hukum kita kerana ghairah nak adakan PRU15," kata Nazri memberi peringatan.

Sebaik sahaja BN mencapai kemenangan selesa dalam PRN Melaka pada 20 November lalu, ada pihak yang mahu PRU15 disegerakan.

Antara yang membuat kenyataan mahu PRU15 diadakan segera selepas kemenangan besar BN ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Alasan yang diberikan oleh Mohamad adalah bagi memastikan kerajaan yang dibentuk mendapat mandat rakyat sekali gus bagi memberikan keyakinan kepada banyak pihak termasuk pelabur asing bersandarkan kepada kestabilan kerajaan dan politik semasa. -Awani